Elavarasan tak gusar lagi

86

SUBKHI SUDARJI

KEBIMBANGAN Ketua Jurulatih PDRM, E Elavarasan yang melihat prestasi berbeza dipamerkan anak didiknya setelah kembali melaporkan diri menjalani latihan selepas cuti Aidilfitri nyata meleset selepas pemainnya memastikan tiga mata menjadi milik mereka.

Ujarnya, sesi latihan selepas cuti panjang sedikit menggusarkan dirinya terutamanya dalam aspek prestasi pemain dan persefahaman bersama pasukan.

“Selepas cuti hari raya, pemain melaporkan diri menjalani latihan Isnin lalu dan saya lihat ada sedikit penurunan prestasi dalam kalangan pemain ketika itu.

“Ada yang tidak kena dengan prestasi pemain ketika itu selain kemasukan beberapa pemain baharu yang memerlukan masa untuk serasi,” katanya.

Mengulas tiga mata yang diraih ketika menewaskan UKM FC, 3-2 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin, Elavarasan mengakui kemenangan berharga buat pasukan untuk terus memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Pemain telah membuktikan kesungguhan meraih kemenangan, mereka tidak mudah berputus asa sehingga ke wisel penamat.

“Bagi saya kemenangan ini akan meningkatkan kedudukan dalam Liga Premier dan perlu diteruskan pada perlawanan akan datang,” katanya.

Pada perlawanan di gelanggang lawan, tiga gol PDRM dijaringkan Fauzan Fauzi minit ke-8, Argzim Redzovic (minit-49) dan Lee Chang Hoon (minit-77) manakala dua gol tuan rumah dihasilkan Asnan Ahmad (minit-13) dan Mateo Roskam (minit-74)

The Cops kini melonjak satu anak tangga di kedudukan ketujuh dengan mengutip 18 mata selepas mengharungi 14 perlawanan menerusi lima kemenangan, tiga keputusan seri dan enam kekalahan.

Komen anda