Elavarasan tuntut pemain Cops fokus baki perlawanan

57

SUBKHI SUDARJI

UiTM FC, Sabah, Negeri Sembilan dan Selangor United disifatkan antara pencabar utama PDRM bagi merebut slot Liga Super musim depan selepas mengambil kira kedudukan Johor Darul Ta’zim (JDT II) dan Terengganu FC II yang tidak akan beraksi di pentas utama ekoran status feeder kelab.

Ketua Jurulatih PDRM FA, E Elavarasan berkata, keempat pasukan itu turut memiliki peluang untuk merebut slot Liga Super dan skuadnya perlu berusaha lebih keras seandainya mengimpikan kedudukan terbabit.

“UiTM FC, Sabah, Negeri Sembilan dan Selangor United layak beraksi di Liga Super musim hadapan setelah memiliki peluang sama rata, jadi bagi kami pula persiapan rapi perlulah dilakukan untuk mengharungi baki tujuh perlawanan.

“Pemain perlu fokus dan berusaha sebagai satu pasukan, jika ini berjaya dilaksanakan tidak mustahil slot terbabit akan menjadi milik pasukan,” ujarnya.

Mengenai kemasukan pemain import baharu dari Nigeria, Uche Agba menggantikan Andrenzinho, bekas pengendali Felda United dan Melaka United ini mengharapkan reputasinya selaku penjaring terbaik dalam Liga Bahrain akan membantu pasukan meraih kemenangan.

“Peranan Agba sudah pasti meledak gol sesuai dengan reputasi dimilikinya, sebenarnya selain Agba kami juga mengadakan penilaian terhadap pemain dari Perancis dan Brazil namun kurang sesuai dengan corak permainan pasukan.

“Kami memilih Agba untuk bersama pasukan memperkuatkan jentera serangan dan pemain ini mula mempamerkan keserasian bersama rakan sepasukan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini,” katanya.

PDRM yang kini menduduki tangga kelapan dengan mengutip 15 mata bakal bertemu UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras Sabtu ini.

Komen anda