Elok pun tidak sertai Manchester United

27

LEGENDA Manchester Untied, Rio Ferdinand mengakui gembira apabila pemain Juventus, Paulo Dybala tidak menyertai The Red Devils.

Kata Ferdinand, Dybala tidak sesuai untuk bermain dengan sebuah kelab seperti United selain menegaskan pemain kelahiran Argentina itu tidak memiliki kriteria yang diingini untuk memacu Red Devils.

“Saya tidak pasti kenapa Dybala menolak tawaran United sedangkan dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika di Juventus. Bagi saya keputusannya untuk menolak tawaran itu membuktikan dia tidak mempunyai sikap yang bagus.

“Mungkin dia fikir mahu berada dalam Liga Juara-Juara atau sekadar memadai dengan memanaskan bangku simpanan dan lebih suka situasi itu daripada bermain di United.

“Saya gembira dia tidak jadi ke mari kerana dia tidak mempunyai karisma yang saya mahukan dalam pemain United,” katanya.

Pemain Argentina itu dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan Romelu Lukaku sebelum jendela akhir perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup, namun perjanjian itu gagal menjadi kenyataan apabila Dybala dilaporkan mahu kekal bersama The Old Lady.

Ferdinand yang mewakili United daripada 2002 sehingga 2014 juga yakin Red Devils boleh berjaya tanpa kelibat Dybala dan pemain lain dalam pasukan juga mampu menunjukkan persembahan yang cemerlang.

“Ramai pemain menolak tawaran Manchester United sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mereka memilih untuk ke destinasi lain.

“Saya mahukan seseorang yang mahu datang dan berfikir United perlu kembali menjadi sebuah pasukan kuat dan berusaha membawa pasukan ke arah itu. Dybala bukan pemain seperti itu,” katanya.

Komen anda