Emery akui sukar cabar Man City, Liverpool

114
 ARSENAL perlu realistik dan mengakui pasukan itu masih jauh ketinggalan berbanding Manchester City dan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim depan.
Pengendali The Gunners Unai Emery berkata, beliau juga tidak yakin pasukannya mampu bersaing dalam perebutan trofi liga selepas menilai kemampuan pasukannya itu.
“Kami perlu realistik dengan jarak pasukan antara Liverpool dan City masih jauh. Arsenal perlu lebih berdaya saing dan perlu mengurangkan jarak antar kedua-dua pasukan tersebut.
“Saya nampak kami perlu memperkukuhkan barisan pertahanan dan dalam masa sama tidak mengurangkan kemampuan di jentera serangan. Idea saya untuk pasukan ini adalah untuk bermain dengan corak serangan.
“Kadang-kadang memang betul kami bergelut untuk menampilkan permainan bertahan yang baik dan sedang cuba memastikan ia diperbaiki,” katanya.
Pasukan dari London Utara itu mengakhiri saingan EPL di tempat kelima musim lepas, satu mata di belakang Tottenham Hotspur sekali gus gagal mendapatkan tiket ke saingan Liga Juara-Juara.
Tambah memeritkan, Arsenal juga tewas kepada Chelsea dalam aksi final Liga Europa menambahkan duka kepada aksi longlai pasukan itu musim lalu.
Kata Emery, untuk berada dalam kelompok empat pasukan terbaik juga semakin sukar dengan Tottenham Hotspur dan Chelsea mula menunjukkan peningkatan.
“Untuk kembali berada dalam pasukan empat terbaik sangat susah dengan Spurs yang membeli pemain yang bagus dan Chelsea yang semakin menampilkan prestasi yang baik.
“Kami perlu percaya dengan cara kami dan proses memastikan pasukan kembali bangkit. Kami mempunyai pemain senior dan muda yang bagus dan akan menandatangani dua atau tiga pemain untuk memperkuatkan pasukan,” katanya.

Komen anda