Emery siap siaga ‘senjata berbeza’ dalam misi tewaskan MU

327
PENGURUS Arsenal, Unai Emery mengakui akan menggunakan pendekatan berbeza menjelang pertemuan dengan Manchester United di Emirates tengah malam esok.

Jelasnya, disebabkan mereka tewas 1-3 kepada lawan sama pada pertemuan terakhir di pusingan keempat Piala FA Januari lalu, beliau mahu mencuba sesuatu yang baharu bagi merampas kembali kedudukan tangga keempat mereka sebelum ini.

“Aksi terdahulu kami telah bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang untuk memberikan saingan kepada mereka. Malangnya, kami tewas.

“Oleh sebab itu, kami perlu melakukan sesuatu yang berbeza dari segi taktikal terutama dalam aspek individu bagi membolehkan kami lebih efisyen untuk menewaskan mereka,” katanya.

Rekod menunjukkan Arsenal cukup cemerlang dalam perlawanan di laman sendiri sebelum ini apabila menang lapan perlawanan berturut-turut sebelum ini.

Justeru, Emery berharap Emirates akan terus memberikan magisnya dalam pertemuan berskala besar menentang pasukan yang kini beraksi cemerlang seperti United.

“Perlawanan sebelum ini di laman sendiri kami mempunyai keyakinan yang cukup tinggi dan beraksi dengan cukup konsisten. Tetapi menentang United ianya satu tugas sukar.

“Mereka sedang melakukan sesuatu yang cukup cemerlang pada waktu ini, tetapi kami tidak perlu risau kerana beraksi di hadapan penyokong sendiri yang akan membantu pemain mengeluarkan yang terbaik dalam diri mereka,” katanya.

Komen anda