Empat atlet memanah UniSZA bawa cabaran negara

60
EMPAT atlet memanah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terpilih mewakili negara ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia ke-30, di Napoli, Itali bermula 2 hingga 14 Julai ini.
Mereka terdiri daripada Nur Aina Yasmine Halim, Iman Aisyah Norazam dan Amirul Amin Abd Rahim bagi acara compound serta Shaerra Ezzaty Saffuan (recurve).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniSZA, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh berkata pencapaian itu antara terbaik pernah dicapai atlet UniSZA, dan menjadi inspirasi kepada atlet lain di universiti berkenaan.
“UniSZA sentiasa memberi sokongan penuh kepada program latihan sukan dan kita amat berbangga kerana empat atlet memanah, terpilih mewakili negara di pentas dunia.
“Kita harap penglibatan mereka akan mengharumkan nama negara dan secara tidak langsung mendorong atlet lain supaya berusaha lebih gigih, pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Nur Aina Yasmine berkata dia telah menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil sejak 27 Jun lalu.
Beliau yang bakal bergandingan dengan Iman Aisyah pada kejohanan itu, bagaimanapun tidak meletakkan sasaran pingat, kerana ia kali pertama mereka mewakili negara ke kejohanan tersebut, namun akan akan melakukan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir.
“Walaupun pernah menyertai beberapa pertandingan di peringkat antarabangsa, perasaan gemuruh tetap ada, tetapi saya akan cuba yang terbaik demi UniSZA dan negara.
“Penyertaan ini juga turut menjadi medan pemanas badan buat saya untuk mendapat tempat ke Sukan SEA Filipina pada November depan kerana perlu berdepan sesi pemilihan peringkat akhir selepas pulang dari Itali nanti, ” katanya.

Komen anda