Empat bekas jentera Singa Utara perkuat SAMB FC

297
Kehadiran empat bekas pemain Perlis bakal menambahkan lagi kekuatan SAMB FC. - FOTO: SAMB FC

Empat bekas pemain Perlis – Mohamad Fakhrullah Rosli, Mohd Yusri Abas, Muhammad Sabri Adam dan Jasmir Mehat membuat keputusan menyertai pasukan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC bagi saingan Liga M3 musim ini.

Pengurus SAMB FC, Fairullizam Ishak berkata, keempat-empat pemain berkenaan yang juga merupakan anak jati kelahiran Melaka ditawarkan kontrak semusim bersama SAMB FC selepas mereka meninggalkan skuad Singa Utara.

“Kami hanya memantau keadaan pemain dari jauh selepas mendengar desas-desus masalah dihadapi dan sebagai sebuah pasukan profesional kami hanya membuat tawaran selepas mereka tidak lagi bersama pasukan terbabit serta kontrak mereka terlerai secara rasmi akibat tunggakan gaji selama dua bulan.

“Mereka telah menandatangani kontrak sejak 18 Februari lalu dan kehadiran pemain-pemain ini bersama kami bukan asing dalam arena bola Melaka kerana masing-masing juga pernah mewakili pasukan sama pada saingan Liga FAM 2017, malah Jasmir telah bekerjasama dengan saya sejak Piala Presiden 2012,” katanya.

Beliau berkata, kesemua pemain berkenaan juga menyatakan rasa gembira mereka kerana masih mendapat tawaran selain dapat terus bermain bola sepak demi kelangsungan kerjaya mereka.

“Bagi persediaan musim ini, sudah tentu kehadiran mereka akan menjadi nilai tambah kepada SAMB FC yang bakal memulakan saingan Liga M3 musim ini pada Mac depan,” katanya.

Menurutnya, gandingan empat pemain itu juga dijangka diuji pada aksi Piala FA bertemu Tun Razak FC di Stadium Mini Raja Muda, Ahad ini. – Bernama

Komen anda