Exco PFA harus pertimbang adakan EGM: Hasmawi

347

AHLI Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) harus mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (EGM) bagi memilih kepimpinan baharu untuk menyelesaikan kemelut yang melanda skuad Singa Utara sehingga dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia (Liga-M).

Bekas pemain kebangsaan, Hasmawi Hassan berkata, segala kemelut pengurusan yang melanda Singa Utara perlulah diberikan perhatian oleh setiap Exco PFA untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian demi bola sepak Perlis.

“Bagi saya apa yang dah terjadi Exco (PFA) sebelum ini perlu ambil inisiatif untuk kembalikan atau mengubah balik dari segi struktur yang berkaitan yang mana terbaik untuk pasukan Perlis, dengan cara yang lebih baik dan telus.

“Bola sepak kita ini industri kecil di mana impian budak-budak dan pemain untuk membina karier dan melibatkan anak-anak Perlis. Kerajaan negeri (Perlis) juga perlu buat sesuatu untuk yakinkan mereka mampu ambil alih pucuk pimpinan yang baharu dan boleh teruskan perjalanan bola sepak Singa Utara,” jelasnya.

Hasmawi yang juga bekas Penasihat Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie turut memohon maaf kepada barisan jurulatih dan pemain serta sahabat handai terhadap kemelut yang masih tiada kesudahan itu.

“Saya mohon maaf dengan apa yang berlaku, ada jurulatih dan pemain bersama pasukan selepas mendapat tahu saya bersama Singa Utara dan mereka memiliki keyakinan tinggi.

“Cuma ingin dijelaskan, urusan saya lebih kepada situasi di padang dan tidak membabitkan pengurusan kewangan atau sebagainya. Saya sendiri tidak dibayar gaji sejak November sehinggalah sekarang,” jelasnya.

Komen anda