F1: Mercedes masih pilihan juara

181

MERCEDES masih menyifatkan mereka sebagai ‘pencabar’ dalam perebutan gelaran juara Formula 1 (F1) 2019 walaupun tampil kurang menyakinkan pada aksi perbukaan di Litar Grand Prix, Melbourne, Australia pada 17 Mac lalu.

Begitupun Mercedes masih selesa menduduki tempat pertama dan kedua sambil menegaskan keputusan di Australia itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada corak perlumbaan terutamanya menjelang siri kedua di Bahrain hujung minggu ini.

Pengurus pasukannya, Toto Wolff menyifatkan Mercedes masih lagi relevan sebagai pencabar utama selepas mereka menjalani ujian di Barcelona.

“Apa pun keputusan di Melbourne minggu lalu, pola perlumbaan kami masih tidak berubah, sebaliknya satu perlumbaan tidak menentukan kemampuan satu-satu pasukan untuk sepanjang musim bukan sahaja di Mercerdes tetapi juga pasukan lain.

“Jadi kami perlu mengekstrak setiap prestasi dari pakej kami dan terus berusaha keras untuk memperbaiki jentera pada hujung minggu ini untuk menjadi lebih kompetitif,” jelasnya

Sebaliknya, Ferrari yang berada di tempat ketiga dan keempat pada aksi pembukaan itu yakin jentera mereka jauh lebih pantas daripada kelajuan yang ditunjukkan di Melbourne setelah berjaya mengatasi masalah pengendalian dan cengkaman yang menghalang kelajuan mereka sepanjang hujung minggu ini.

Sementara itu, Wolff menyifatkan pertarungan baharu sahaja bermula dan kesemua pasukan termasuk Ferrari dan Red Bull akan cuba untuk kembali memberi cabaran di Bahrain nanti.

“Kami melihat potensi pakej Ferrari di Barcelona, ​​jadi kami menjangkakan mereka akan kembali kuat di Bahrain, begitu juga Red Bull tetapi kami akan tetap memberi tentangan hebat hujung minggu nanti,” katanya.

Komen anda