F1: Red Bull merendah diri         

197
PEMANDU Red Bull, Max Verstappen tidak mahu pasukannya dibuai dengan detik indah selepas bermula baik pada perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Australia di Melbourne, minggu lalu.
Sebaliknya, Verstappen percaya Red Bull hanya dapat mengetahui prestasi mereka sekurang-kurangnya selepas dua lagi perlumbaan musim ini.
Verstappen berjaya menghadiahkan Red Bull tempat ketiga pada GP Australia yang menyaksikan jentera pasukan itu mula memberi impak selepas menggunakan ‘kuasa’ Honda.
Kejayaan yang diraih Verstappen itu juga sekali gus memberikan podium pertama buat pengeluar enjin Honda dari Jepun itu sejak 2008.
Verstappen menamatkan perlumbaan di Litar Albert Park itu kira-kira seminit di hadapan duo pemandu Ferrari – Sebastian Vettel dan Charles Leclerc yang masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Bagaimanapun, Verstappen berkata, Red Bull perlu lebih bersedia bagi mengharungi perlumbaan GP Bahrain di Litar Antarabangsa Bahrain penghujung minggu ini.
“Bermula musim ini dengan podium di Australia merupakan satu perkara yang cukup positif. Namun, Melbourne (Albert Park) bukan satu litar yang tipikal, jadi kami tidak boleh terlalu berasa gembira.
“Saya tidak fikir kami akan mengetahui kedudukan kami sehinggalah perlumbaan di China nanti,” jelas pemandu kelahiran Belanda berusia 21 tahun itu.
Verstappen hadir ke Bahrain dengan catatan enam podium berturut-turut termasuk lima kejayaannya pada penghujung musim lalu, namun dia berdepan rekod buruk apabila bersaing di Bahrain selepas gagal menamatkan perlumbaan dua edisi sebelum ini.
“Saya sukakan litar ini dan perubahan perlumbaan dari sebelah petang kepada malam. Ia menjadi satu cabaran kepada setiap pemandu dan itu sudah pasti menjanjikan minggu yang cukup hebat,” jelasnya.
Selepas GP Bahrain, China akan menjadi tuan rumah pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Shanghai dari 12 hingga 14 April depan.

Komen anda