F1 tawar markah bonus pusingan terpantas

190

KHABAR gembira buat barisan pemandu yang akan bersaing pada perlumbaan Formula 1 (F1) musim ini.

Penganjur F1 akan kembali memperkenalkan pemberian markah bonus kepada mana-mana pemandu yang berjaya melakukan catatan masa pusingan terpantas dalam setiap perlumbaan Grand Prix (GP).

Langkah itu diumumkan kelmarin dengan satu markah tambahan akan diberikan buat gelaran pemandu dan pengeluar dengan syarat pemandu tersebut perlu menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik.

Ross Brawn

Suruhanjaya F1 telah meluluskan cadangan itu dan ia disahkan oleh Majlis Sukan Motor Dunia.

“Sudah banyak kali kami mendengar para pemandu bercakap di radio dan bertanya kepada pasukan mereka tentang siapa yang mencatat masa terpantas?

“Kini ia bukan lagi sekadar rekod dan prestij tetapi ia (markah bonus) ini akan memberi motivasi tambahan yang akan menjadikan perlumbaan akhir semakin menarik,” kata Pengarah Urusan F1, Ross Brawn.

Juara setiap perlumbaan GP ketika ini meraih 25 mata diikuti 18, 15, 12, 10, 8, 6, 4, 2 dan 1 mata bagi kedudukan berikutnya.

Pemberian markah bonus itu akan mula berkuat kuasa pada GP Australia di Melbourne, Ahad ini yang menyaksikan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton bakal memulakan misi mempertahankan gelarannya.

Komen anda