F1: Verstappen yakin lebih menyerlah

140

Pemandu Red Bull, Max Verstappen mengakui semangatnya kian membara menjelang pembukaan musim baharu Formula 1 (F1) minggu ini.

 

Pemandu berusia 21 tahun itu berkata, dia berazam bermula dengan langkah kanan seterusnya menjejakkan kaki di podium pada perlumbaan Grand Prix (GP) Australia di Melbourne, Ahad ini.

 

Verstappen memberitahu, dengan pencapaian itu, dia dapat memberikan saingan lebih awal kepada dua pemandu handalan – Lewis Hamilton (Mercedes) dan Sebastian Vettel (Ferrari).

 

“Mungkin kedengaran agak bongkak untuk saya katakan seperti itu tetapi saya yakin mampu memberi saingan hebat kepada Lewis dan Sebastian musim ini.

 

“Sangat bodoh jika saya berfikir tidak mampu menewaskan kedua-dua pemandu hebat itu. Jika saya ada fikiran seperti itu, lebih baik saya duduk di rumah sahaja,” katanya.

 

Menurutnya lagi, dengan pengalaman selama tiga tahun dalam arena F1, dia yakin keupayaannya akan terus meningkat dan mampu ‘berdiri sama tinggi’ dengan barisan pelumba handalan lain.

 

“Saya selalu berbicara dengan diri sendiri apa yang perlu dilakukan ketika membuat kesilapan selain melakukan kajian untuk menjadi lebih baik.

 

“Itu membuatkan saya menjadi seorang pemandu yang lebih baik dan mampu mencabar sesiapa sahaja,” jelas Verstappen.

Komen anda