FAM, Bojan Hodak akhiri persengketaan

449
FOTO: FAM

PERSENGKETAAN di antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan Bojan Hodak akhirnya terlerai selepas ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan itu selesai menghantar surat tunjuk sebab, Jumaat lepas.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, sudah tidak tidak ada isu lagi di antara kedua-dua belah pihak berkaitan komen pedas yang diberikan Hodak kepada badan induk itu sebelum ini.

Namun, beliau menjelaskan kontrak Hodak yang akan tamat pada Julai masih akan diteliti oleh ahli jawatankuasa pasukan kebangsaan.

“Bila dia sudah hantar surat, maknanya sudah tidak ada apa-apa isu lagi.

“Sebelum ini saya sudah ulas bahawa perkara ini hanyalah isu dalaman sahaja. Tidak ada kaitan dengan artikel 88 atau apa sahaja.

“Ini adalah komen seorang jurulatih sebagai staf kepada FAM dan perkara ini akan kami teliti. Tiada apa lagi saya boleh komen.

“Berkaitan kontraknya yang akan tamat, ia hanya akan diputuskan oleh jawatankuasa pasukan kebangsaan. Jawatankuasa itu bukan akan pantau isu komen, tetapi lebih kepada isu prestasi dan persediaan pasukan untuk kejohanan berikutnya,” katanya ketika ditemui di sidang media pra pelancaran Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (World Football Summit atau WSF).

Mengulas mengenai sidang yang akan diadakan pada 29 dan 30 April itu, Stuart berkata, ia merupakan peluang terbaik buat ahli-ahli gabungan FAM turut serta dan mendapatkan pelbagai input bersama wakil-wakil kelab di seluruh dunia yang akan turut menyertainya nanti.

Jelasnya, sidang itu antara lain dapat meluaskan pandangan ahli gabungan berkaitan dunia bola sepak dan pada masa sama dapat menjadi tapak untuk mengubah mentaliti setiap pasukan dan kelab yang ada di Malaysia berkaitan perniagaan dalam bola sepak (football business).

“Sidang ini juga boleh menjadi tempat untuk ahli-ahli gabungan kami menjalinkan kerjasama atau belajar daripada kelab-kelab luar negara, tidak kiralah sama ada kelab-kelab besar atau kecil.

“Kami di FAM hanya membuka pintu untuk mereka, dan selebihnya mereka sebagai ahli gabungan kena jalankan sendiri apa perancangan yang mahu mereka lakukan selepas tamat sidang ini,” katanya.

Komen anda