FAM harap penyokong hadir beri sokongan kepada Harimau Malaya

142
FOTO: FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa penyokong bola sepak negara tampil memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Harimau Malaya dalam kejohanan bola sepak empat negara, Piala Airmarine 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata FAM juga sentiasa membuka pintu perbincangan dengan mana-mana kumpulan penyokong dan mengambil kira pandangan wakil-wakil semua pemegang taruh dalam menentukan dasar yang memberi kesan terus kepada mereka.

“Atas semangat ini, FAM tetap berharap supaya semua penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada malam esok bagi menaikkan semangat para pemain Harimau Malaya menentang musuh tradisi kita, Singapura.

“Sokongan anda diperlukan dalam membantu pemain menjiwai misi yang boleh mencerahkan harapan pasukan kebangsaan dalam misi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia bermula pertengahan tahun nanti.

“Kepada semua penyokong bola sepak yang tidak henti-henti menyokong Harimau Malaya, ucapan terima kasih kami hulurkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam pada itu, FAM juga menafikan dakwaan kononnya pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, dijadikan alat mengaut keuntungan, sehingga harga tiket dinaikkan.

“Dalam dunia bola sepak moden, pasukan bola sepak kebangsaan adalah produk utama mana-mana badan induk yang dipertanggungjawabkan mengurus tadbir bola sepak.

Dari sudut pemasaran dan komersial, FAM perlu memaksimumkan nilai pasukan kebangsaan bagi menjana pendapatan dan mencari sumber kewangan untuk disalurkan semula ke dalam bentuk pembangunan pasukan kebangsaan pelbagai peringkat umur.

“Sebagai badan induk yang berdepan masalah kewangan terhad, FAM mengalu-alukan tawaran pihak ketiga seperti ProEvents menganjurkan kejohanan sebegini,” katanya.

Bagi Piala Airmarine 2019, ProEvents sebagai promoter kejohanan ini mengambil risiko menganjurkan kejohanan sebegini dengan mencari sumber tajaan sendiri dan menanggung kos operasi penganjuran membawa masuk tiga negara ke Kuala Lumpur.

Justeru, harga jualan tiket yang telah ditetapkan itu adalah bagi menampung kos-kos yang berkaitan dan sebelum ProEvents meraih apa-apa keuntungan, mereka perlu menampung terlebih dahulu kos yang telah dibelanjakan bagi menjayakan kejohanan ini.

Katanya, harga tiket RM35 untuk menyaksikan dua perlawanan bagi setiap hari perlawanan Piala Airmarine 2019 ini seharusnya tidak dijadikan isu oleh penyokong tegar skuad Harimau Malaya.

Sebagai perbandingan, menurut Stuart, negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia mengenakan harga tiket yang lebih mahal untuk perlawanan antarabangsa, dengan anggaran sekitar RM28 hingga RM84 sekeping.

Pada Piala AFF 2018, Vietnam mengenakan harga tiket dari RM36 hingga RM108 sekeping.

Komen anda