FAM kecewa dakwaan melulu PFAM

41

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menyifatkan kenyataan melulu Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mampu menjejaskan segala usaha dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain.

Stuart berkata kenyataan yang tidak menjelaskan mengenai keadaan sebenar berkaitan isu tunggakan gaji melibatkan sesetengah pasukan bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) itu hanya akan mengeruhkan keadaan.

Katanya, PFAM tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mampu menimbulkan persepi buruk selagi FAM mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua pihak yang ingin mencari jalan penyelesaian dalam apa jua masalah.

“Saya rasa betul apa yang dilakukan PFAM itu sedikit menggangu usaha FAM dalam membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain. Kenyataan seperti itu tidak membantu keadaan…malah ia akan menjejaskan kedudukan PFAM bersama pasukan bertanding yang mahu bekerjasama dengan mereka.

“FAM sentiasa ingin membantu dalam hal ini tetapi bukan melalui kenyataan media. Bagi saya cara itu tidak akan menyelesaikan masalah tetapi perbincangan semeja antara pasukan, PFAM dan FAM sendiri mungkin kita boleh ensure whatever that has been promised is being delivered,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

PFAM pada Ahad menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail mendedahkan terdapat banyak pasukan masih belum melunaskan tunggakan gaji sebanyak RM6.4 secara keseluruhannya.

Izham dalam kenyataan tersebut mendakwa Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pahang masih berdiam diri berhubung isu tunggakan gaji meskipun sebelum ini berjanji akan menyelesaikan sebaik menerima geran hak penyiaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Menurut Izham, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United yang membuat perjanjian bagi membuat pembayaran secara berperingkat sebelum ini turut melanggar janji tersebut.

Sementara itu, Stuart menegaskan FAM sentiasa menghormati hak asasi pemain, namun meminta semua pihak mengambil pendekatan berfikir secara realistik dalam menyelesaikan apa jua masalah.

“Saya tidak mempersoalkan hak asasi pemain kerana kita faham ada yang sudah berbulan malah bertahun tunggu duit masuk. Tetapi kita harus berfikiran positif dan realistik untuk bagi masa masalah ini diselesaikan,” katanya.

Komen anda