FAM sedia melangkah lebih jauh

247

KEJAYAAN skuad Harimau Malaya muncul selaku naib juara Piala AFF Suzuki 2018, Sabtu lalu membuktikan usaha yang sedang dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mengangkat kembali martabat bola sepak negara di mata dunia.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata pencapaian itu amat diperlukan FAM yang kini sudah bersedia untuk ‘berlayar’ lebih jauh keluar daripada zon selesa dan bersaing dengan kuasa besar bola sepak di rantau Asia.

“FAM memerlukan pencapaian ini untuk menunjukkan bahawa kita mempunyai hala tuju dan telah mengorak langkah membuat persiapan baharu…apa yang penting kejayaan itu membuktikan kita sudah mula bergerak ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak negara.

“Kita (pasukan negara) masih ada banyak kejohanan besar yang kita sasarkan…jadi kalau kita masih terkial-kial di peringkat Asia Tenggara macam mana kita nak melonjakkan pasukan ke peringat Asia,” katanya semalam.

Malaysia terpaksa berpuas hati merangkul gelaran naib juara Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam pada aksi final kedua di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu lalu.

Kejayaan mara ke pentas akhir itu menyaksikan Malaysia menampilkan semangat juang yang tinggi sepanjang kempen kejohanan termasuk menyingkirkan penyandang juara, Thailand setelah mengikat skuad ‘Gajah Perang’ itu 2-2 di Stadium Nasional Rajamangala pada aksi separuh akhir kedua.

Sementara itu, Yusoff Mahadi berpendapat semangat ditonjolkan pasukan itu adalah satu perkembangan positif untuk menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa pemain kebangsaan tidak mempunyai keinginan bermain untuk negara.

“Kejayaan muncul naib juara tidak dapat dicapai tanpa semangat pemain ini. Kalau dulu orang pertikaikan semangat pemain yang mudah luntur….tapi kali ini kita dapat lihat dalam beberapa perlawanan kita berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan.

“Semangat berlawan itu sudah ada dalam diri pemain generasi hari ini. Tugas kita di FAM adalah macam mana nak tingkatkan dari segi taktikal dan kualiti pemain. Tiada lagi isu pemain dipilih tidak ada semangat mewakili negara,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Malaysia pernah dinobatkan sebagai juara pada edisi 2010 dan muncul naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 1996, 2014 dan 2018 sepanjang penyertaan dalam kempen Piala AFF Suzuki.

Komen anda