FAM tak sambung kontrak: Aminuddin terkilan….

12197
BEKAS penolong jurulatih Harimau Malaya, Aminuddin Hussin terkilan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lewat memaklumkan status kontraknya yang tidak diperbaharui hingga menjejaskan peluangnya untuk membimbing pasukan lain.

Mengakui sedikit kecewa apabila mengetahui kontrak tidak disambung tanpa sebarang alasan diberikan, Aminuddin ternyata terkejut apabila menerima notis penamatan kontrak dari majikannya pada 7 Februari 2018.

“Kontrak saya bersama FAM berakhir, Disember 2018 namun Januari 2019 saya masih lagi dibayar gaji untuk tempoh tersebut sebelum mendapat maklum (4 Februari 2019) khidmat akan ditamatkan.

“Selang tiga hari kemudian saya menerima surat penamatan kontrak yang tidak memaklumkan sebab perkhidmatan tidak disambung, pastinya saya kecewa apabila menerima berita ini terutamanya dengan masa yang singkat untuk mencari pasukan kelab mahu pun negeri.

“Saya menerima keputusan yang diambil dan kini menjadi penganggur terhormat,” jelasnya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, Aminuddin bersama seorang lagi pembantu jurulatih Harimau Malaya, S Balachandran merupakan individu yang dilihat banyak membantu Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dalam persiapan pasukan menghadapi kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang membawa kepada kejayaan merangkul gelaran naib juara apabila kecundang kepada Vietnam dengan agregat 3-2.

Sebelum menyertai Harimau Malaya, Aminuddin pernah menjalani kursus dan beroleh lesen kejurulatihan di Leipzig dan Cologne, Jerman,
jurulatih SSBJ dari 1999 hingga 2007 dan Harimau Muda C (Bawah 19) pada 2012 selain jurulatih skuad Piala Presiden ATM 2014 merangkap penolong B. Sathianathan dalam skuad Liga Super, pengendali Kuantan FA serta menjadi Pengarah Belia FAM dari 2007 hingga 2009.

Selain itu, Aminuddin juga pernah bergandingan dengan Frank Bernhardt sebagai penolong jurulatih Projek Sukan SEA 2017 mengatasi calon lain iaitu bekas penolong jurulatih Harimau Malaysia, Reduan Abdullah, P. Maniam (bekas jurulatih Selangor) dan Azlan Johar (bekas penolong jurulatih T-Team).

Aminuddin turut memaklumkan turut melalui proses temuduga bagi jawatan kejurulatihan Akademik Mokhtar Dahari (AMD) di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Sebelum diberikan notis penamatan kontrak, saya turut menjalani temuduga bagi jawatan kejurulatihan AMD pada Januari lalu, namun dimaklumkan gagal,” katanya yang pernah bertugas di samping seorang lagi warga Jerman, Holger Obermann di FAM dari 1996 hingga 2000.

Memasuki hari ketiga latihan skuad Harimau Malaya sebagai persiapan kejohanan Piala AirMarine 2019, kelibat Aminuddin atau lebih mesra dengan panggilan ‘Coach Amin’ tidak kelihatan dan hanya kelibat S Balachandran sahaja dilihat bersama Cheng Hoe.

–tamat–

Komen anda