FAP: CAS jalan terakhir demi maruah Pulau Pinang

104

RODLY FADLY

 

PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sanggup bergolok bergadai demi memastikan mereka mendapat pembelaan sewajarnya apabila nekad mencabar hukuman dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

 

 

Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah berkata, ia adalah jalan terakhir bagi mendapatkan hak mereka beraksi dalam Liga Super musim depan sekalipun menyedari ia akan membabitkan kos yang tinggi.

 

 

“Pemain-pemain sudah berjuang sepanjang musim bagi memenuhi impian layak ke Liga Super. Pihak pengurusan FAP, malah kerajaan negeri juga melakukan yang terbaik untuk tujuan itu tapi akhirnya hak kami dinafikan dengan hukuman dikenakan FIFA.

 

 

“Kami bukan berniat untuk tidak menghormati keputusan FIFA, sebaliknya membawa kes ini ke CAS kerana mahu mendapatkan pembelaan sewajarnya selepas rayuan kepada FIFA ditolak.

 

 

“Kami yakin mempunyai asas yang kuat untuk membuat rayuan kepada CAS.

 

Walaupun perbelanjaan untuk kes ini dijangka mencecah hampir RM47,000 tetapi kami sedia bersusah payah asalkan nasib Pulau Pinang terbela,” kata Amar semalam.

 

 

Bagi tujuan itu, FAP sudah melantik seorang peguam sukan berpengalaman, Vassil Dimitrov dari Bulgaria untuk membantu FAP mengemukakan rayuan kepada CAS minggu depan.

 

 

“Dimitrov sudah menyediakan draf rayuan dan pihak kami sedang meneliti untuk penambahbaikan sebelum dihantar kepada CAS minggu depan.

 

 

“Saya yakin dengan pengalaman dimilikinya dalam mengendalikan kes-kes sebegini, Dimitrov dapat membantu FAP mendapatkan pembelaan melalui CAS,” katanya.

 

 

FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

 

 

Pada 25 Mac lalu, FIFA mengarahkan FAP membayar AS$90,000 (RM370,000) bersama faedah lima peratus kepada Lobo. FAP juga dikenakan denda tambahan AS$10,000 (RM41,000) kerana kegagalan membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC).

 

 

Pada 17 April, FAP membuat pembayaran berjumlah AS$92,597.72 (RM386,391.77) kepada Lobo. Namun, pada 29 April, peguam Lobo memaklumkan kepada FIFA bahawa pembayaran itu tidak mengikut kadar tukaran wang semasa iaitu sebanyak AS$97,041.83 (RM399,379.06).

 

 

Situasi itu mendorong FIFA mengenakan tindakan pemotongan enam mata ke atas Pulau Pinang. Ekoran hukuman itu, skuad Harimau Kumbang terlepas tiket Liga Super 2020 yang kini menjadi milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Komen anda