Faris sah milik Perlis

1045

Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Faris Ramli dari PKNS FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Perkembangan terbaharu tersebut dimaklumkan PFA menerusi status terbaharu dalam laman Facebook rasmi; Perlis Northern Lions.

PFA menjelaskan Faris yang membuat 47 penampilan bersama Singapura bakal mengisi kuota pemain Asia.

Pemain yang beraksi di bahagian sayap itu memulakan karier bersama pasukan muda Singapura, Young Lions mulai 2010 hingga 2012 sebelum menyertai kelab Lions XII (2013-2015).

Selepas Lions XII dibubarkan, Faris kembali ke Singapura dan menyertai kelab Home United pada 2016 dan 2017 sebelum dipancing oleh PKNS FC musim lepas.

Sebelum ini, pemain berusia 26 tahun itu dikhabarkan berada dalam radar pasukan Perak tetapi pihak Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan pemain itu akan memperkuatkan The Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic.

Faris merupakan pemain keempat dari Singapura yang disahkan beraksi dalam saingan Liga M musim ini. Tiga lagi pemain ialah Harris Harun (Johor Darul Ta'zim), Shakir Hamzah (Kedah) dan Safuwan Baharudin (Pahang).

Komen anda