Farizal bakal berdepan hukuman FAS

302

RODLY FADLY

PENJAGA gol Selangor, Farizal Haron bakal berdepan hukuman daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung insiden menumbuk pemain PKNP FC, Mohammad Al Fateh Afandi pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Sabtu lalu.

Pengendali Selangor, B Sathianathan berkata, FAS sudah memberi amaran kepada Farizal dan akan mengambil tindakan disiplin ke atas bekas penjaga gol Felda United itu.

“RMS (Raja Muda Selangor) selaku Presiden FAS memang tidak berkompromi dengan perkara seperti ini. Pengurusan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Farizal seperti pemotongan gaji dan sebagainya, terpulang kepada FAS.

“Saya sudah memberitahu Farizal, pihak pengurusan termasuk exco dan presiden tidak gembira dengan apa yang berlaku dan tindakan akan tetap diambil.

“Saya sendiri melihat insiden itu tidak patut berlaku, setiap pemain patut mengawal emosi walau dalam apa situasi sekalipun. Saya harap tindakan yang dikenakan FAS kelak akan menjadi pengajaran kepada Farizal,” kata Sathianathan semalam.

Namun Sathianathan menegaskan, beliau tidak berhasrat mengenakan hukuman berganda ke atas Farizal dengan merehatkan penjaga gol itu kerana menganggap tindakan yang bakal dikenakan FAS sudah memadai.

“Mana mungkin saya merehatkan seorang pemain yang bermain dengan baik hanya kerana insiden itu. Lagipun FAS akan mengambil tindakan, saya rasa hukuman itu lebih berkesan berbanding saya menggantungnya,” tegas jurulatih berpengalaman itu.

Pada aksi yang berkesudahan seri 1-1 itu, Farizal didakwa dengan sengaja menumbuk muka Al Fateh di depan pintu golnya ketika PKNP FC bersiap sedia mengambil sepakan sudut.

Komen anda