Farizal kesal dengan tindakannya di Kuala Terengganu, mohon maaf kepada FAS, penyokong

585
Farizal kesal dengan tindakannya di Kuala Terengganu dan memohon maaf kepada semua. FOTO: FAS

INSIDEN membabitkan penjaga gol utama Selangor, Farizal Harun dengan penyokong Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi telah mendapat perhatian Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

FAS dalam satu kenyataan berkata pihaknya telahpun menerima permohonan maaf daripada penjaga gol berusia 33 tahun itu yang kesal dengan keterlanjurannya kepada penyokong The Red Giants.

Jelas kenyataan itu, FAS juga sedang mempertimbangkan tindakan yang bakal diambil ke atas Farizal yang sudah dua kali mencetus kontroversi dalam waktu terdekat.

"Berikutan insiden yang melibatkan penjaga gol utama Selangor, Farizal Harun dan penyokong pasukan Selangor di Kuala Terengganu, FAS telah menerima permohonan maaf dari Farizal yang kesal dengan perbuatannya tempoh hari.

"Buat masa ini pihak FAS sedang mempertimbangkan tindakan susulan yang wajar diambil untuk kebaikan semua pemegang taruh yang berkepentingan.

"FAS sentiasa komited untuk memberikan yang terbaik kepada pemain, pegawai dan penyokong setia Red Giants," tulis kenyataan itu.

Kontroversi itu timbul di media sosial penyokong-penyokong Selangor sejak malam tadi apabila rata-rata mendakwa telah dihamburkan kata-kata kesat oleh Farizal selepas perlawanan yang menyaksikan Selangor tewas 0-1 di tangan Terengganu FC (TFC).

Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan penyokong Gergasi Merah yang telah meminta FAS agar tidak menurunkan penjaga gol utama Selangor itu dalam mana-mana perlawanan lagi selepas ini.

Sebelum ini, Farizal turut mencipta kontroversi apabila tersebar satu rakaman video menunjukkan beliau telah menumbuk pemain PKNP dalam aksi Liga Super di Manjung minggu lalu.

Disebabkan tindakannya itu, presiden dan exco FAS telah memberi kenyataan bahawa tidak gembira dengan perlakuan penjaga gol berpengalaman itu dan bakal mengambil tindakan kepadanya tidak lama lagi.

Komen anda