Fazriq belum putuskan ikut Misbun atau Razif

108
Muhammad Fazriq

BINTANG muda negara, Muhammad Fazriq Mohamad Razif masih belum memuktamadkan acara yang serasi untuknya melebarkan sayap dalam sukan badminton.

Penyandang juara remaja acara perseorangan Kejohanan Badminton Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Prix bulan lepas, mengakui masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada mengikut jejak langkah bapa saudaranya Datuk Misbun Sidek sebagai pemain perseorangan atau jejak bapanya Datuk Razif dalam acara beregu.

“Buat masa ini, kami belum buat keputusan acara apa, saya hanya fokus kepada kedua-dua acara kerana kami masih muda, masih mendapatkan pengalaman baharu, itu yang penting.

“Bagi beregu lelaki, saya hanya digandingkan dengan Justin (Hoh Shou Wei). Kami digandingkan bersama sejak berumur 11 tahun hingga sekarang (15 tahun),” katanya.

Pada Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Malaysia 2019 yang berakhir semalam di Putrajaya, menyaksikan Muhammad Fazriq yang juga anak bongsu kepada legenda beregu negara itu muncul naib juara beregu lelaki bersama Justin.

Gandingan remaja negara itu tewas kepada rakan sepasukan yang juga pilihan kelima Ooi Jhy Dar-Yap Roy King 14-21, 14-21 pada aksi final, pada Ahad.

Walaupun masih belum memutuskan acara yang serasi dengan dirinya, pemain berusia 15 tahun itu sudah memasang impian untuk berada di pentas Olimpik pada usianya menjangkau 20 tahun, iaitu temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Harapnya kami dapat ke sana…untuk Olimpik 2024…ramai pemain muda (berumur) 19 dan 20 tahun, mereka bergerak pantas dan diharapkan kami juga dapat melakukan sedemikian.

“(Untuk mencapai tahap itu) Kami perlu main sebanyak mungkin kejohanan untuk meraih pengalaman dan mempelajari taktikal dan kemahiran baharu kerana pemain lain juga lebih berpengalaman daripada kami. Kami kurang dari segi itu,” jelasnya.

Namun, pemain yang dikaitkan sebagai calon yang bakal menggantikan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, berkata sebelum ke pentas berprestij itu, beliau dan Justin terlebih dahulu mahu mengukir nama sebagai juara dunia remaja suatu hari nanti.

Mengakui perjalannya dalam pentas sukan badminton masih jauh, Muhammad Fazriq turut menyatakan pelbagai pengorbanan dan cabaran perlu diharungi sebelum menggapai status juara di mata dunia.

Muhammad Fazriq mula menjadi bualan hangat setelah merangkul kejuaraan kesembilannya di peringkat remaja di Kejohanan Jemputan Shonai Bawah 15 Tahun, selepas menumpaskan Alex Lenier, 21-16, 21-10 pada final di Jepun, Jun lepas.

Komen anda