‘Ferrari belum cukup pantas’

75

PELUMBA Ferrari, Sebastian Vettel menegaskan Ferrari masih belum cukup pantas meskipun mengungguli sesi latihan kedua pada saingan Grand Prix (GP) Kanada.

Dalam sesi latihan pada Jumaat, duo Ferrari, Charles Leclerc dan Vettel mengungguli kedudukan 1, 2 dengan jarak catatan masa lebih baik berbanding pelumba Mercedes, Valtteri Bottas di tempat ketiga.

“Kami masih belum cukup pantas.

“Saya tahu walaupun keputusan memihak kami, tetapi jika anda menilai dari aspek keseluruhan ia masih belum cukup untuk menandingi Mercedes.

“Sejujurnya, saya belum merasakan satu perasaan yang baik dengan jentera SF90 kami kali ini. Saya rasa masih ada beberapa perkara yang perlu kami pantau dan perbaiki,” kata Vettel.

Pelumba kelahiran Jerman itu bagaimanapun mengakui pemilihan tayar yang betul bakal menjadi faktor penentu keputusan perlumbaan sebenar hari ini memandangkan keadaan litar di Montreal, Kanada sukar dijangka.

“Ia sesi yang menarik. Sudah tentu keadaan litar agak licin dan sukar untuk kami memecut pada awalnya. Tapi saya yakin keadaan itu akan berubah pada Ahad (hari ini).

“Bagi saya, pemilihan tayar akan menjadi penentu, jadi kami perlu melihat apa yang perlu kami lakukan. Jika mahu menjuarai perlumbaan ini, kami perlu memastikan semuanya dalam keadaan sempurna.

“Diharapkan kami dapat membuat keputusan terbaik bagi membolehkan kami menjuarai perlumbaan pertama musim ini,” katanya.

Komen anda