Ferrari sukar saingi Mercedes: Briatore

186
FERRARI diramal sukar menyaingi keupayaan penyandang juara, Mercedes pada saingan Formula 1 (F1) musim ini.
Prinsipal pasukan Renault, Flavio Briatore berkata, Ferrari masih ketinggalan baik dari segi keupayaan jentera mahupun pemandu berbanding Mercedes.
“Pada ketika ini sukar bagi Ferrari menyaingi Mercedes biarpun mereka memiliki tiga bulan menyiapkan jentera baharu tetapi apabila saingan musim 2019 bermula tiada sebarang impak ditampilkan Ferrari.
“Musim ini Mercedes ternyata lebih bersedia mempertahankan kejuaraan berdasarkan permulaan baik pada Grand Prix (GP) Australia sebagaimana dibuktikan dua pemandu mereka, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas,” kata Briatore.
Sejak musim 2014, Mercedes berjaya mendominasi saingan F1 dengan Hamilton merekodkan empat kejuaraan daripada lima musim terakhir manakala satu lagi gelaran diraih bekas pemandunya, Nico Rosberg (2016).
Pada saingan musim ini juga dijangka tiada sebarang perubahan besar apabila Mercedes mula menawan Litar Albert Park yang menyaksikan Bottas muncul juara.
Sebagai rekod, sejak era penggunaan enjin turbo V6 pada 2014, Hamilton dan Mercedes tidak pernah terlepas kejuaraan dunia dengan pemandu berusia 34 tahun itu memenangi 51 daripada 100 perlumbaan sepanjang tempoh tersebut.
Musim ini, Mercedes berazam mencipta rekod meraih gelaran dunia buat kali keenam berturut-turut bagi menyamai pencapaian Ferrari yang merekodkan enam kejuaraan pada 1999 hingga 2004.
Hamilton pula memburu gelaran dunia kali keenam dalam kariernya selepas turut mengecap kejuaraan dunia ketika bersama pasukan McLaren pada musim 2008.

Komen anda