Ferrari perkenal konsep baharu SF90 di Monaco

182
Ferrari bekerja keras untuk memastikan hasil positif di GP Monaco minggu ini.

BOS Ferrari, Mattia Binotto menjelaskan pasukannya kini sedang berusaha gigih untuk mengubah nasib mereka dalam saingan Formula 1 (F1) musim ini.

Jelasnya, syarikat pengeluar dari Itali itu sedang meneliti konsep baharu yang kini berada di fasa akhir bagi membolehkan jentera SF90 mampu bersaing dan menjuarai perlumbaan.

"Minggu lalu, kami menjalani sesi ujian di Barcelona dan hasil analisa mendapati tayar yang kami gunakan musim ini sangat berbeza dengan musim lalu yang mana ia memerlukan mekanikal berbeza dan tetapan aerodinamik untuk membolehkannya berfungsi.

"Untuk masalah itu, kami telah membuat kajian dan bakal menilai konsep baharu serta beberapa penambahan lain terhadap jentera kami sebelum perlumbaan di Monaco nanti," katanya.

Ferrari sebelum ini pernah melakukan beberapa perubahan pada jenteranya dalam usaha mencipta kemenangan sulung musim ini. Namun, usaha itu sehingga kini masih belum membuahkan hasil.

Dalam pada itu, pelumba Ferrari, Sebastian Vettel menyuarakan rasa terujanya menjelang perlumbaan Grand Prix Monaco hujung minggu ini.

"Tiada keraguan bahawa Monaco merupakan antara perlumbaan paling ikonik setiap musim. Litarnya sungguh unik kerana perlu menempuh perjalanan berbukit dan melalui terowong. Itu menjadikannya lebih mencabar.

"Namun, perlu diingat, tiada ruang untuk kami melakukan kesilapan di sini kerana litar ini pendek selain mempunyai tujuh selekoh dan tiada trek lurus. Oleh sebab itu, kami perlu memastikan kami beraksi dengan baik di pusingan kelayakan nanti," katanya.

Komen anda