Ferrari semakin hampiri Mercedes

132

JUARA dunia, Lewis Hamilton menyifatkan Mercedes belum mencapai prestasi maksimum sekalipun muncul pasukan pertama dalam tempoh 27 tahun apabila meraih kemenangan 1-2 pada tiga pusingan awal Formula 1 (F1).

Kelmarin, Hamilton dan rakan sepasukannya, Valtteri Bottas sekali lagi menghadiahkan kejayaan 1-2 buat Mercedes apabila mengungguli Grand Prix (GP) China di Litar Antarabangsa Shanghai.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian mereka pada GP Bahrain di Sakhir penghujung bulan lalu yang menyaksikan Hamilton muncul juara manakala Bottas di tempat kedua.

Sebelum itu, Bottas dan Hamilton masing-masing berjaya meraih podium juara dan naib juara pada saingan pembuka tirai 2019, GP Australia di Albert Park.

Keputusan dalam tiga pusingan itu menyaksikan Mercedes muncul pasukan pertama sejak Williams pada 1992 yang berjaya meraih kemenangan 1-2, sekali gus menyaksikan mereka mengutip 130 mata setakat ini.

Namun, Hamilton tidak mahu mendabik dada kejayaan itu, sebaliknya dia percaya Ferrari mampu menghadirkan ancaman terbesar buat Mercedes pada perlumbaan akan datang.

“Saya berpendapat, kami masih belum mencapai tahap terbaik. Kami sepatutnya meneruskan momentum ini dan bekerja lebih keras bagi mendapatkan keputusan positif.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi kepada Red Bull tetapi apa yang saya tahu, Ferrari sudah semakin hampir dengan kami. Itu situasi yang patut kami ambil perhatian.

“Apa sekalipun, kami tidak boleh berasa terlalu selesa dengan pencapaian yang dicapai setakat ini. Masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan lagi,” kata Hamilton.

Komen anda