Ferrari tidak bergolak: Vettel

261
SEBASTIAN Vettel yakin perubahan dalam struktur pengurusan Ferrari tidak menggambarkan revolusi baharu akan berlaku.

Sebaliknya beliau percaya rombakan yang berlaku terhadap struktur operasi itu akan melicinkan lagi pasukan dalam saingan Formula 1 (F1).

Beliau berkata demikian bagi mengulas kedatangan Mattia Binotto untuk menggantikan Maurizio Arrivabene sebagai Prinsipal Pasukan

“Ini bukan revolusi. Pasukan masih sama, tetapi kini Mattia menjadi prinsipal. Pasukan dan struktur lain masih sama.

“Kami mengalami saat-saat sukar sebelum ini, jadi kami perlu terima dan bergerak ke hadapan. Perubahan ini mungkin menjadi sesuatu yang lebih baik untuk pasukan menghadapi musim baharu ini.

“Bagi Mattia ini mungkin satu tugas yang mencabar. Bagi pihak saya, saya akan terus memberikannya sokongan selagi boleh. Saya yakin Mattia tidak berdepan masalah kerana dia pun sudah lama dalam arena ini dan dia mengenali semua orang,” katanya.

Menjelang pembukan saingan F1 musim 2019, Ferrari dilihat lebih menjadi dengan catatan masa menakjubkan dicatat pada sesi pra musim di Barcelona.

Mengulas sama ada Ferrari akan merampas gelaran juara, Vettel berkata beliau hanya mahukan semua pasukannya menikmati setiap perlumbaan dan tidak dibebani tekanan.

“Kami hanya perlu berseronok untuk memenangi perlumbaan. Jika kami boleh mengekalkan keseronokan di atas litar, saya positif sesuatu yang baik akan menanti kami,” katanya.

Komen anda