‘Filipina tarik diri anjur Sukan SEA 2019 hanya spekulasi’

183

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan laporan berkaitan penarikan diri Filipina selaku tuan rumah Sukan SEA Manila dari 30 November hingga 11 Disember ini adalah spekulasi media negara berkenaan.

 

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata pihaknya menghubungi Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) setelah membaca laporan media berkenaan dan pihak tuan rumah memaklumkan bahawa kenyataan media itu hanya spekulasi.

 

“Bagaimanapun, POC memberi jaminan bahawa semua perancangan penganjuran temasya sukan dwitahunan berjalan lancar, “katanya kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di bangunan OCM, di sini hari ini.

 

Menurut laporan media tempatan Filipina, pihak penganjur kini menghadapi masalah dana selain dikaitkan dengan konflik dalaman kepimpinan sukan di negara itu.

 

Sementara itu, mengenai persiapan Sukan SEA, Mohamad Norza berkata jawatankuasa bebas penilai dipengerusikan oleh Tan Sri Dr M. Jegathesan akan mengemukakan cadangan mengenai pemilihan atlet ke Sukan SEA Manila dalam mesyuarat yang akan diadakan pada 25 April ini.

 

Mohamad Norza berkata MOM lebih fleksible dalam pemilihan atlet pada temasya dwitahun itu memandangkan kejohanan terbesar peringkat ASEAN  adalah platform untuk atlet muda yang pertama kali menyertai kejohanan antarabangsa.

 

Dalam mesyuarat itu, beliau berkata beberapa persatuan belum jelasmengenai peruntukan persatuan masing-masing dan memerlukan penjelasan yang tepat daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

 

“Sukan SEA semakin hampir, jadi sangat penting pihak Kementerian Belia dan Sukan  menjelaskan perkara ini terutamanya mengenai Program Podium 2.0.

 

“Ada beberapa persatuan masih menunggu untuk berjumpa dengan menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman). Saya difahamkan persatuan ini mempunyai masalah mengenai peruntukan bagi persiapan atlet ke Sukan SEA,” katanya.

 

 

Komen anda