Firmino mahu pastikan ‘trofi yang hilang’ 12 tahun lalu kembali ke bumi Brazil

160
Firmino dan rakan sepasukannya mahu pastikan trofi Copa America kekal di Brazil.

Brazil bertekad untuk memastikan trofi Copa America 2019 dijulang di bumi sendiri menjelang pertemuan dengan Peru di pentas final, awal pagi esok.

Penyerang Brazil, Roberto Firmino berkata, selaku tuan rumah, pasukannya perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri demi mengembalikan semula trofi keramat bola sepak Amerika Selatan yang terlepas dari genggaman pada tiga edisi terdahulu.

Jelas Firmino, beliau tidak rela membayangkan bagaimana perasaan mereka jika sekali lagi terlepas kejuaraan ini terutama apabila ia bakal disaksikan puluhan ribu penyokong sendiri.

Justeru, beliau berharap persembahan cemerlang mereka ketika membelasah Peru lima gol tanpa balas dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini akan diteruskan pada aksi final nanti.

"Sukar untuk diluahkan perasaan apabila berjaya membawa pasukan ini ke final. Perjalanan kami sangat menakjubkan terutama apabila berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos untuk ke ke tahap ini.

"Namun, kami tidak boleh terbuai dengan catatan itu memandangkan kami perlu berjuang di pentas penentuan yang akan menentukan siapa yang akan keluar sebagai pemenang.

"Selepas mara sejauh ini, kami amat berharap segala apa yang kami usahakan selama ini membuahkan hasil yang diidamkan iaitu mengembalikan semula trofi ini ke tempat yang sepatutnya iaitu di bumi Brazil," katanya.

Pada masa sama, bintang berusia 28 tahun itu menganggap jika trofi Copa America menjadi milik Brazil tahun ini, ia akan melengkapkan tahun penuh gemilang buatnya yang sebelum ini telah menjulang trofi Liga Juara-juara bersama Liverpool.

"2019 menjadi tahun paling bermakna dalam karier saya selepas membantu Liverpool menjulang trofi Liga Juara-juara. Namun, ia akan jadi lebih bermakna jika dapat menjulang satu lagi trofi bersama skuad kebangsaan sendiri," katanya lagi.

Komen anda