Fokus program latihan dahulu : Hendrawan

168
KUALA LUMPUR, 7 Jan -- Jaguh Badminton Negara Datuk Lee Chong Wei muncul buat kali pertama selepas pulih daripada kanser hidung yang dihidapinya sejak tahun lalu untuk menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara hari ini. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

JURULATIH perseorangan lelaki negara, Hendrawan gembira dan bangga dengan semangat yang dipamerkan oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) bermula Jumaat lepas.

Bagaimanapun, bekas juara dunia itu berkata Chong Wei memerlukan sedikit masa lagi untuk kembali mendapatkan sentuhannya sebelum boleh memikirkan mengenai kejohanan yang bakal disertainya selepas menggantung raket sejak Julai lalu berikutan kanser hidung tahap satu.

“Saya gembira, senang dan bangga dengannya. Tentu keinginannya untuk kembali merupakan sesuatu yang sangat positif. Kemahirannya (skil) memang tak akan hilang, tetapi kerana lama tak berlatih, sudah tentu awal-awal ini masih keras, itu adalah biasa dan akan kembali normal dalam satu atau dua bulan.

“Mengenai kejohanan kita tak bincang lagi kerana tidak mahu fikir terlalu ke hadapan, yang penting perancangan program latihan. Beliau akan menjalani latihan ringan dan pemulihan di gimnasium dulu untuk bina kekuatan dan kecergasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di ABM, Bukit Kiara, hari ini.

Bekas pemain perseorangan lelaki Indonesia itu berkata perancangan mengenai kejohanan hanya akan dibuat selepas ini, bergantung kepada keadaan dan pemulihan pemain berusia 36 tahun itu.
**media[144050]**
Mengenai kedudukan ranking Chong Wei yang semakin menurun daripada kedudukan kedua dunia pada Julai lalu ke tempat ke-28 sekarang yang akan menyukarkan misinya untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Hendrawan mengakui pihaknya terpaksa bertarung dengan masa.

“Memang betul kelayakan ke Olimpik bermula Mei ini… Mata ranking itu bergantung kepada kejohanan yang disertai dan keputusannya. Buat masa ini doktor hanya membenarkan kembali jalani 30 peratus latihan sahaja dulu, kita tak boleh terlalu push (desak).

“Sebab itu untuk beberapa minggu ini, beliau akan menjalani latihan sehari dan rehat sehari untuk lihat pada keadaannya. Mungkin selepas sebulan, baru kita akan tingkatkan untuk jalani latihan selama dua hari dan rehat sehari dan lihat bagaimana keadaannya untuk fikir mengenai kejohanan,” katanya.

Hendrawan berkata Chong Wei juga ada berasa kerinduan dan kekurangan pemain berikutan ketiadaan beberapa pemain, termasuk pemain senior yang meninggalkan kem kebangsaan sejak tahun lalu.

Penampilan terakhir Chong Wei adalah ketika tewas kepada Kento Momota dari Jepun, yang kini menghuni ranking nombor satu dunia, pada pusingan separuh akhir Terbuka Indonesia, Julai lalu, seminggu selepas menewaskan pemain sama untuk merangkul gelaran Terbuka Malaysia buat kali ke-12.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu kini telah disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan. – Bernama.

Komen anda