‘Gandingan Aaron, Wooi Yik bukan biasa-biasa’

484

JURULATIH beregu lelaki negara Paulus Firman menyifatkan pencapaian gandingan Aaron Chia-Soh Woi Yik pada kejohanan badminton Seluruh England 2019 adalah sesuatu yang luar biasa.

Beliau sendiri terkejut dengan prestasi membanggakan dipamerkan pasangan muda negara itu yang pada awalnya disasarkan hanya mara ke suku akhir.

“Sungguh luar biasa kerana sasaran awal saya hanyalah suku akhir,” katanya ketika dihubungi.

Pasangan muda ini beregu lelaki pertama mara ke final Seluruh England selepas kali terakhir dilakukan oleh gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2011.

Aaron-Wooi Yik kini tinggal selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia muncul juara acara beregu lelaki Seluruh England selepas 2007 oleh Kien Keat-Boon Heong.

Paulus Firman

Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia, Aaron-Wooi Yik mengetepikan gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 12-21, 22-20, 21-19.

Seperti perlawanan suku akhir, gandingan negara terpaksa berhempas-pulas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mereka tewas di set pertama.

Bangkit di set kedua, Aaron-Wooi Yik seperti mendapat suntikan tonik daripada jurulatih, mengatur serangan demi serangan untuk memastikan mereka menguasai set kedua 22-20 sebelum menang di set penentuan 21-19.

“Saya hanya minta agar mereka tetap tenang dan tukar cara serta strategi permainan mereka,” kata jurulatih yang berasal dari Indonesia itu.

Melepasi pusingan pertama menewaskan pemain Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han, pasangan Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah tersendiri sehingga digelar ‘pembunuh gergasi’ apabila mengetepikan pilihan kelima dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk mara ke suku akhir.

Mangsa mereka di suku akhir pasangan China, Wang Yulyi-Zhang Nan yang terpaksa akur dengan pemain muda negara diikuti pasangan Indonesia Fajar-Muhammad Rian di separuh akhir.

Perlawanan akhir dijadualkan bermula pada 8 malam waktu Malaysia. – Bernama

Komen anda