Garis panduan bakal dikeluarkan

300

GARIS panduan penganjuran acara maraton akan dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini daripada terus berlaku.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata, badan induk itu sudah menghantar laporan garis panduan berkenaan kepada Pejabat Pesuruhanjaya Sukan dan berharap ia akan diluluskan secepat mungkin sebelum dilaksanakan.

“Ada pihak mendakwa KOM minta duit lebih daripada penganjur, walhal ia digunakan untuk program pembangunan atlet olahraga dan tiada sesen pun digunakan oleh mana-mana pegawai KOM.

“Sekiranya penganjur merasakan duit yang kita minta itu membebankan, saya nasihatkan mereka supaya tidak menganjurkan acara maraton,”katanya.

Karim turut menjelaskan keperluan untuk mewujudkan garis panduan berkenaan perlu ada adalah memandangkan sesetengah penganjur mengambil jalan pintas dengan tidak merujuk terlebih dahulu kepada KOM selaku badan pentadbir olahraga di negara ini sekiranya ingin menganjurkan maraton di negara ini.

Sementara itu, Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai memaklumkan menerusi garis panduan berkenaan, penganjur yang berhasrat menganjurkan maraton di negara ini perlu membayar wang jaminan kepada KOM yang akan memberi sokongan kepada acara berkenaan.

Jelasnya, penganjur maraton perlu membayar sebanyak US$3,000 (RM12,517) sekiranya ia melibatkan jarak 10km ke bawah dan terbuka kepada rakyat Malaysia sahaja.

“Sekiranya larian itu lebih daripada 10 ke 21km, kita caj US$5,000 (RM20,862), manakala larian separuh maraton atau maraton penuh (21km ke atas) yang melibatkan 3,000 peserta atau kurang, kita caj US$10,000 (RM41,724). Kalau lebih 3,000 peserta, jumlah bayaran adalah US$15,000 (RM62,586).

"Bagi maraton melibatkan peserta antarabangsa membabitkan 3,000 peserta ke bawah, caj yang dikenakan adalah US$20,000 (RM83, 453) kerana banyak aspek yang perlu diambil kira termasuk penggunaan ramai pegawai teknikal dan pegawai anti-doping selain laluan yang panjang.

“Sekiranya jumlah peserta kurang daripada 3,000 orang, kita hanya akan kenakan caj sebanyak RM12 bagi seorang peserta larian,” ujarnya.

Untuk rekod sebelum ini beberapa kes melibatkan kematian peserta larian maraton berlaku sebelum ini termasuk melibatkan Evelyn Ang Gek Suan, 44 yang meninggal dunia selepas dilaporkan dilanggar oleh sebuah kereta ketika menyertai Klang City International Marathon 2017.

Komen anda