GCE-Elmina Duathlon 2019 gamit 1,600 peserta dari 21 negara

61

GABUNGAN cabaran berbasikal dan berlari di dalam satu kejohanan semakin mendapat perhatian apabila seramai 1,600 orang peserta daripada 21 buah negara menyertai GCE-Elmina Duathlon 2019 yang berlangsung semalam.

Acara anjuran Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dengan kerjasama Sime Darby Property itu mengatasi jangkaan awal penyertaan sebanyak 1,000 peserta sekali gus mencapai misi dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya turut menjangkakan acara ini akan menjadi antara acara utama dalam kalendar sukan Malaysia berdasarkan sambutan hangat daripada peserta.

“Dengan penyertaan peserta dari luar negara seperti Australia, England, Kanada dan Amerika Syarikat, ianya telah memperlihatkan populariti GCE-Elmina Duathlon 2019 ini semakin mendapat sambutan hingga ke peringkat antarabangsa walaupun ianya baru memasuki tahun kedua penganjuran. Acara ini juga merupakan satu-satunya acara duathlon di Malaysia yang diadakan di atas lebuh raya yang ditutup,” katanya.

Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu full duathlon, dash duathlon dan team relay serta dua acara santai iaitu fun ride dan fun run. Peserta telah dilepaskan di Bandar Elmina oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Komen anda