Giliran ketua jurulatih Harimau Kumbang pula ‘direhatkan’..

958

 

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Ahmad Yusoff menjadi jurulatih ketiga direhatkan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

 

Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

 

“Pihak pengurusan FAP telah mengadakan satu mesyuarat khas tengahari tadi bagi membincangkan prestasi semasa pasukan Liga Premier Pulau Pinang dan telah sebulat suara bersetuju membuat keputusan bahawa Ketua Jurulatih, Hj Ahmad Yusoff direhatkan serta merta.

 

“Keputusan drastik ini diambil setelah menilai semua semua aspek prestasi semasa demi memperbaiki cabaran pasukan dalam Liga Premier 2019.

 

“Ahmad Yusoff telah dimaklumkan berkenaan hal ini,” katanya.

 

Bagaimanapun, FAP belum membuat pengumuman siapa yang akan menggalas tugas jurulatih skuad Harimau Kumbang selepas ini.

 

Untuk rekod, sejak mengendalikan pasukan awal musim ini, Ahmad Yusoff sekadar membantu Pulau Pinang mencatat satu kemenangan, satu seri dan tiga tewas.

 

Sebelum ini pasukan PDRM dan Sarawak menjadi dua pasukan pertama merehatkan ketua jurulatih masing-masing susulan prestasi hambar pasukan dalam saingan Liga Premier.

Komen anda