Giliran Leclerc terpantas

231
PEMANDU muda Ferrari, Charles Leclerc tampil memukau apabila merekodkan masa sepusingan terpantas pada hari kedua sesi ujian pramusim Formula Satu (F1) di Litar Catalunya, Sepanyol semalam.

Dalam sesi ujian tersebut, Leclerc menggunakan tayar lembut C5 melakukan 138 pusingan, sekali gus memperbaiki prestasi Ferrari pada hari pertama yang menyaksikan Sebastian Vettel mengalami kemalangan.

Pemandu kelahiran Monaco, Perancis itu merakamkan masa 1 minit 16.231 saat (s) pada sesi ujian sebelah pagi dan catatan itu kekal sehingga sesi sebelah petang.

Catatan masa itu juga hampir menyamai kepantasan yang dilakukan pemandu sensasi Mercedes, Lewis Hamilton ketika menyambar petak hadapan Grand Prix (GP) Sepanyol 2018 – 1:16.173s.

“Saya fikir kami kini berada di landasan yang betul. Namun, masih ada beberapa perkara yang harus diperbaiki menjelang perlumbaan GP Australia nanti.

“Saya masih perlu belajar walaupun saya sudah semakin serasi dengan jentera baharu (SF90) ini. Buat masa ini, segala-galanya berjalan dengan baik.

“Kami mungkin dianggap antara pasukan terkuat ketika ini. Bagaimanapun, kita semua akan tahu apabila bermulanya saingan kelayakan di Melbourne. Setakat ini, kami gembira dengan apa yang telah kami lakukan,” kata Leclerc.

Kelmarin, pemandu McLaren, Carlos Sainz mencatat masa terpantas – 1:17.144s selepas menggunakan tayar lembut kategori C4 dan menamatkan sesi ujian dengan 130 pusingan.

Dalam pada itu, Hamilton sekadar menamatkan sesi ujian sebelah pagi dengan melakukan 85 pusingan sebelum rakan sepasukannya, Valtteri Bottas mengambil alih tugas pada sebelah petang.

“Hari ini (semalam) merupakan hari yang baik bagi kami. Ia menjadi antara hari yang positif buat pasukan dan kami banyak belajar dalam sesi ujian kali ini.

“Kami akan perbaiki setiap masalah yang timbul bermula sesi pagi hingga petang. Jadi saya berharap Valtteri mampu memberikan aksi yang lebih baik.

“Jentera W10 semakin menunjukkan peningkatan dan itu memberi petanda yang cukup baik kepada pasukan,” kata Hamilton.

Bottas pula tetap berpandangan bahawa Ferrari masih berada ‘setakuk’ di depan Mercedes serta Red Bull.

“Keseluruhannya tampak lebih mencabar berbanding musim lalu atau musim sebelum itu, tetapi itu hanya andaian saya. Anda tidak akan tahu apa yang mereka (Ferrari) bawa ke Melbourne,” katanya.

Perlumbaan pembuka tirai musim 2019 – GP Australia akan berlangsung di Litar Albert Park, Melbourne pada 17 Mac ini.

Komen anda