Gol berkelas dunia Mo Salah tutup mulut penyokong rasis: Robertson

136

GOL bertaraf dunia yang dijaringkan Mohamed Salah ketika membantu Liverpool menewaskan Chelsea 2-0 Ahad lalu menjadi jawapan untuk menutup mulut penyokong rasis, kata Andy Robertson.

Robertson, tonggak pertahanan kiri The Reds berkata demikian susulan tersebarnya video yang memaparkan sekumpulan penyokong Chelsea menyanyikan ‘chant’ berbaur perkauman kepada Salah, selain turut menghina agama Islam yang dianuti Salah dengan mengaitkannya sebagai pengebom.

“Di saat dia (Salah) menendang bola itu, semua orang tahu ia akan menerjah jaring. Ia sungguh menakjubkan.

“Dengan apa yang terjadi pada pertengahan minggu lalu (video ejekan penyokong), ia cara yang paling sempurna untuk menutup mulut mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas aksi timbal balik suku akhir Liga Juara-juara bertemu FC Porto awal pagi Khamis, Robertson berkata walaupun pasukannya mempunyai kelebihan dua gol pada aksi terdahulu, itu bukan bermakna mereka boleh mengambil mudah ancaman kelab dari Portogal itu.

Jelasnya, The Reds perlu berhati-hati memandangkan Porto pasti akan beraksi bermati-matian dalam aksi di tempat sendiri.

“Kemenangan ke atas Chelsea memberikan kami lebih keyakinan, tetapi kami sedar masih banyak kerja perlu dilakukan. Kami juga tahu Porto tidak akan mudah untuk dijinakkan.

“Mereka sudah jauh berbeza berbanding musim lalu. Jadi, kami perlu memberikan 100 peratus untuk memastikan kami dapat melangkah jauh dalam saingan Liga Juara-juara,” katanya lagi.

Komen anda