Gol kedua bunuh semangat pemain

297

PENGENDALI Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan gol kedua hasil jaringan Goulon Herold Mark pada awal separuh masa kedua nyata membunuh semangat kebangkitan barisan pemainnya pada aksi Liga Super menentang Pahang, di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Ujarnya, beraksi ditempat lawan dengan pasukan yang kuat pastinya memberikan kesukaran dan mengakui kekalahan pertama musim ini.

“Separuh masa pertama kita bermain terlalu bertahan sehingga dihalang pasukan lawan untuk maju ke depan.

“Saya mengubahnya pada separuh masa kedua yang membuka lebih banyak peluang, tetapi gol kedua pasukan lawan meranapkan moral kita,” katanya yang percaya anak didiknya akan bangkit pada perlawanan seterusnya.

Pada aksi tersebut, Sang Penyu dilihat lebih banyak bertahan pada babak pertama hingga membiarkan pemain lawan terutamanya Saddil Ramdani dan Mohamadou Sumareh bergerak bebas mengatur gerakan dari kedua bahagian sayap.

Walaupun berjaya mengunci pergerakan Dickson Nwakaeme, namun kelincahan penyerang import baharu Ze Love terus memberikan tekanan kepada benteng hingga terpaksa melepaskan gol pertama hasil jaringan Nwakaeme minit 13.

Anak didik Irfan Bakti bagaimanapun tidak mengaku kalah dan bertindak melancarkan serangan memburu gol namun kekentalan benteng Tok Gajah serta kurangnya idea dibahagian tengah TFC menafikan impian mereka untuk menyamakan kedudukan.

Selang enam minit babak kedua bersambung jaringan Goulan melalui tandukan yang menyempurnakan sepakan penjuru terus membunuh semangat Sang Penyu untuk bangkit dan terpaksa akur dengan gol ketiga hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha minut ke 91.

Mengulas perlawanan seterusnya di laman sendiri berhadapan penyandang juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT), Irfan menambah menambah masih terlalu awal bagi pasukannya untuk menyerah.

“Masih awal untuk kami menyerah dan saya yakin pemain akan bangkit apabila berhadapan Harimau Selatan pada perlawanan ketiga 15 Februari nanti di halaman sendiri ,” ujarnya.

Komen anda