GP Qatar buka tirai malam esok…Siapa yang bakal menyengat?

334

SAINGAN MotoGP 2019, akhirnya kembali lagi dengan perlumbaan di Litar Losail, Qatar akan membuka tirai malam esok bagi menentukan pelumba mana yang akan bermula langkah kanan dalam merebut gelaran juara dunia 2019.

Litar Antarabangsa Losail telah menjadi gelanggang rasmi MotoGP untuk 16 perlumbaan dan menariknya, 12 daripada perlumbaan itu diadakan pada sebelah malam dengan bantuan lampu limpah.

Berikut, antara fakta dan statistik menarik mengenai GP Qatar sejak ia mula menjadi gelanggang rasmi MotoGP pada 2004:

1. LITAR PERTAMA BERAKSI PADA WAKTU MALAM

Litar Losail memecahkan rekod MotoGP apabila menjadi litar pertama mengadakan perlumbaan pada waktu malam. Ia dilakukan pada 2008 susulan cuaca yang terlalu panas di siang hari.

2. IMPAK LORENZO

Rekod menunjukkan, Jorge Lorenzo menjadi pelumba paling cemerlang di litar ini dalam semua kelas dengan meraih enam kemenangan (tiga – MotoGP, dua – 250cc dan satu – 125cc).

3. ROSSI TAK NAK KALAH

Jika diukur daripada kelas premier sahaja (MotoGP), Valentino Rossi menjadi pelumba yang masih aktif paling berjaya dengan empat gelaran. Catatan itu menyamai rekod pelumba Australia, Casey Stoner.

4. APRILIA, YAMAHA MENYENGAT

Pasukan paling berjaya di Litar Losail dalam semua kelas MotoGP ialah Aprilia dengan mencatat 12 gelaran juara.

Begitu pun, Yamaha lebih cemerlang jika diukur dalam kelas Premier dengan lapan kemenangan, dibantu empat kemenangan oleh Valentino Rossi dan satu daripada Maverick Vinales.

5. MARQUEZ ‘SENDU’

Juara dunia tujuh kali MotoGP, Marc Marquez kurang menyerlah di Qatar kerana hanya mencatat satu kemenangan pada 2014. Namun, musim lalu, beliau muncul sebagai pelumba kedua terpantas.

6. ANAK JATI SEPANYOL CEMERLANG DI QATAR

VINALES

Statistik menunjukkan pelumba Sepanyol paling cemerlang di Qatar dengan memenangi 6 perlumbaan. Ianya dicatatkan oleh Sete Gilbernau (2004), Jorge Lorenzo (2012, 2013, 2016), Marc Marquez (2014), Maverick Vinales (2017).

7. AMARAN DOVIZIOSO

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso menjadi pelumba terkini yang paling banyak memberi ancaman di Qatar. Beliau belum pernah gagal menduduki podium sejak 2015 dan akhirnya musim lalu muncul sebagai juara di sini.

Beliau turut mencatat masa terpantas di ujian pra musim.

8. MUKA BAHARU CIPTA KEJUTAN?

Quartararo antara muka baharu yang mencatat masa yang baik di pra musim Qatar baru-baru ini.

Perlumbaan di Qatar ini juga bakal menjadi pentas pertama buat empat muka baharu, Francesco Bagnaia, Fabio Quartararo, Joan Mir, dan Miguel Oliveira beraksi sebagai pelumba kelas Premier.

Rekod menunjukkan Bagnaia, Qartararo dan Joan Mir mampu memberikan ancaman besar berdasarkan aksi pra musim. Mampukah mereka mencipta kejutan menjuarai aksi pembuka tirai ini?

Komen anda