GP Qatar: The Doctor siap siaga gegar Litar Antarabangsa Losail

196
Legenda dunia MotoGP, Valentino Rossi sudah bersiap sedia memulakan penampilannya bagi musim ke-24 pada perlumbaan Grand Prix (GP) Qatar di Litar Antarabangsa Losail minggu ini.
Pada usia 40 tahun, pelumba kelahiran Itali itu masih bersemangat menggegar litar dalam misinya memburu kejuaraan MotoGP kelapan dalam kariernya.
Dengan rekod 89 kemenangan setakat ini, Rossi telah merangkul tujuh kejuaraan dunia termasuk bagi kelas 500cc pada musim 2011 selain menjuarai kategori 125cc (1997) dan 250cc (1999).
Bagaimanapun, Rossi dilihat mengalami kemarau kemenangan dengan kali terakhir dia menjejakkan kaki di podium utama pada saingan di Assen, Belanda kira-kira 20 bulan lalu.
Rossi yang terkenal dengan gelaran The Doctor juga terpaksa berdepan dengan musim ‘hambar’ tahun lalu apabila gagal meraih sebarang podium utama buat pertama kali bersama Yamaha.
Mujur rakan sepasukannya, Maverick Vinales berjaya menyelamatkan maruah Yamaha apabila meraih satu-satunya podium utama musim lalu pada GP Australia di Phillip Island.
Bagi saingan musim ini, barisan kru teknikal Yamaha telah mempertingkatkan prestasi jentera M1, namun Rossi beranggapan masih banyak perkara yang perlu mereka perbaiki untuk kembali menawan litar MotoGP.
Begitupun, Rossi optimis Yamaha kini berada di laluan yang betul bagi mencabar dua pasukan handalan – Honda dan Ducati bagi memburu kejuaraan musim ini.
“Akhirnya perlumbaan sulung GP musim ini akan bermula! Sesi ujian pramusim sebelum ini cukup penting. Kedua-duanya di Sepang dan Qatar, saya boleh katakan kami telah mengharungi ujian yang positif.
“Walaupun kami kini berada di laluan yang tepat tetapi banyak lagi aspek yang perlu kami perbaiki,” jelas Rossi yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-40 pada 16 Februari lalu.
Rossi berkata, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi perlumbaan GP Qatar minggu ini selepas berjaya menduduki tangga ketiga di Litar Antarabangsa Losail musim lalu.
“Saya berada dalam keadaan terbaik selepas menjalani latihan secukupnya sebelum ini. Saya sudah bersedia mengharungi musim baharu bersama kru pasukan Yamaha. Kami akan melakukan yang terbaik!” jelasnya.

Komen anda