Guardiola optimis City akan melangkah ke separuh akhir UCL

170

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola mempunyai keyakinan tinggi bahawa skuad kendaliannya mampu menterbalikkan keadaan untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-juara (UCL).

The Citizens tidak mempunyai kelebihan selepas tewas 0-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tottenham Hotspur minggu lalu hasil jaringan tunggal Son Heung-min.

Namun, Guardiola optimis aksi di laman sendiri awal pagi Khamis nanti akan jadi jauh lebih baik selepas melakukan analisa daripada aksi suku akhir pertama itu.

“Satu-satunya sebab untuk panik ialah bila anda tersingkir daripada kejohanan ini.

“Tetapi saya tidak berasa seperti itu (panik), kerana saya yakin kami akan melangkah ke pusingan berikutnya.

“Jika anda tanya sekarang apa akan jadi, saya akan mengatakan kami akan berada di separuh akhir. Kenapa? Kerana itu yang saya fikirkan sekarang.

“Saya berfikir begitu selepas saya melakukan analisa video daripada aksi terdahulu. Mungkin saya salah, tetapi seperti saya katakan saya dapat rasakan kami akan jadi empat pasukan terbaik Eropah,” katanya.

Guardiola sebelum ini menempa nama sebagai pengurus yang banyak merangkul piala domestik, selain mempunyai rekod baik di kejohanan Eropah bersama kelab terdahulu.

Rekod menunjukkan Guardiola pernah menjuarai UCL sebanyak dua kali sepanjang empat tahun bersama Barcelona, selain menjulang 12 trofi lain.

Ketika bersama Bayern Munich, beliau turut berjaya menjulang tiga kejuaraan Bundesliga dan dua Piala Jerman, selain tiga kali membawa kelab gergasi Bundesliga itu ke separuh akhir UCL.

Oleh sebab itu, beliau mahu atau tidak beliau perlu membawa City ke separuh akhir musim ini memandangkan reputasinya menjadi taruhan jika gagal dua kali berturut-turut untuk sekurang-kurangnya ke kelompok empat terbaik UCL bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu.

Komen anda