The Gunners selangkah lagi bawa masuk Pepe

51

ARSENAL dilaporkan semakin hampir mendapatkan khidmat pemain sayap Lille, Nicolas Pepe dan kini dalam fasa terakhir berbincang mengenai pelan pembayaran kepada kelab berkenaan.

Bagaimanapun, The Gunners mendapat tentangan hebat apabila khidmat Pepe juga diintai beberapa kelab seperti Liverpool, Manchester United, Napoli dan Paris Saint-Germain (PSG).

Presiden Lille, Gerard Lopez turut mengesahkan perkara tersebut dengan kesemua pasukan terbabit sedia membayar €80 juta (RM367 juta) untuk mendapatkan pemain antarabangsa Ivory Coast itu.

“Tahun lepas kami meminta Pepe kekal di Lille dengan jaminan untuk membenarkan dia berpindah tahun in. Kami menerima banyak tawaran yang memuaskan hati dan sekarang ia terpulang kepada Pepe untuk membuat keputusan.

“Kami hanya menunggu jawapan daripadanya yang dijangka pada esok (hari ini) apabila dia pulang daripada bercuti dan kembali menyertai pasukan,” kata Lopez.

Namun, laporan media luar negara mendedahkan Arsenal berada selangkah di depan dalam pemburuan pemain itu dengan Pepe dilaporkan berminat bermain dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Pepe menjadi buruan kelab gergasi Eropah selepas mempamerkan persembahan cemerlang bersama Lille musim lalu apabila meledak 23 gol dan 12 bantuan gol dalam semua kejohanan.

Jika Arsenal berjaya mendapatkan Pepe, mereka terpaksa melupakan khidmat penyerang Crystal Palace, Wilfried Zaha yang sebelum ini turut mendapat perhatian The Gunners.

Komen anda