Hadiah wang tunai Piala Razak wajar dinaikkan

185
Azhar Ahmad

PERSATUAN Hoki Perak mencadangkan hadiah wang tunai bagi juara Kejohanan Hoki Piala Tun Razak dinaikkan kepada jumlah yang lebih berbaloi memandangkannya kejohanan berprestij dan berada pada kelas tersendiri.

Presidennya, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, ini kerana hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 yang ditawarkan kepada juara kejohanan dianggap terlalu kecil dan tidak setimpal.

Beliau berkata pihaknya mencadangkan agar hadiah kemenangan bagi kejuaraan itu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM50,000.

“Sebagai contoh, perbelanjaan kita untuk mempersiapkan pasukan tahun ini sahaja berjumlah RM56,000, namun hadiah diterima selaku juara hanya sebanyak RM10,000.

“Bagi saya, ia tak berbaloi dan jumlah (RM10,000) itu seolah-olah tidak memperkasakan sukan hoki itu sendiri yang menjadi antara sukan teras di negara ini,” katanya pada sidang media selepas jamuan tengah hari bersama Presiden Persatuan Hoki Perak, di sini semalam.

Terdahulu, dalam jamuan tersebut, Azhar turut menyampaikan penghargaan termasuk wang sagu hati kepada pemain bawah 14 tahun, bawah 19 tahun serta pemain veteran yang telah menjuarai kejohanan anjuran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada tahun lalu.

Beliau berkata bagi meningkatkan jumlah hadiah kemenangan itu, pihaknya mencadangkan supaya MHC meminta sumbangan daripada semua Menteri Besar dan pihak berkepentingan yang mampu merealisasikan hasrat berkenaan.

“Saya yakin jika MHC menulis surat kepada semua pemimpin negeri itu dan memohon sumbangan sekurang-kurangnya RM10,000, banyak negeri yang boleh beri dan secara tak langsung hadiah kemenangan dapat dinaikkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Azhar berkata, beliau turut mencadangkan supaya tempoh jawatan Presiden MHC dipendekkan daripada empat tahun kepada tiga tahun sahaja.

Katanya, ia penting bagi memastikan mana-mana individu yang menyandang jawatan itu menjadi lebih efektif selain mampu membawa perubahan positif kepada arena hoki negara. – Bernama

Komen anda