Hafizh kecewa masalah jentera

136
Hafizh Syahrin gagal menamatkan perlumbaan di Litar Catalunya selepa mengalami maalah teknikal pada jenteranya.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui kecewa apabila gagal menamatkan perlumbaan dalam saingan MotoGP Catalunya semalam akibat masalah jentera.

Menurutnya, ketika itu beliau berada di tahap terbaik perlumbaan dan mempunyai peluang cerah untuk memungut mata selain berpeluang berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

"Saya sangat kecewa. Enjin jentera saya berhenti selepas beberapa pusingan. Saya bermula baik dan dalam kedudukan untuk memungut mata. Saya tidak dapat mengambarkan bagaimana perasaan saya ketika ini.

"Saya mempunyai peluang untuk memungut mata dan berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik. sangat sukar untuk menerima perkara sebegini tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya cuba menghidupkan kembali enjin ketika itu tetapi tetap tidak berfungsi ," katanya.

Bagaimanapun, kata Hafizh Syahrin, beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai masalah jentera tersebut sebaliknya fokus kepada saingan MotoGP Belanda penghujung bulan ini.

"Tiada apa lagi yang boleh saya katakan kerana ia situasi yang sukar. Perkara yang boleh saya lakukan ialah pandang ke hadapan dan kembali dengan aksi lebih baik dalam saingan akan datang," katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Herve Poncharal memohon maaf kepada Hafizh Syahrin ekoran masalah jentera yang dihadapi pelumba negara itu.

Beliau berkata akan meneliti masalah yang dihadapai jentera milik Hafizh Syahrin dan akan memastikan masalah teknikal itu tidak berulang dalam saingan MotoGP di Belanda.

"Litar ini adalah litar kegemaran Hafizh Syahrin. Beliau bermula baik sehinggalah enjinnya berhenti berfungsi.Kami akan melihat perkara ini dengan serius dan pastikan ia tidak berulang.

"Impian untuk melihat Hafizh turut memungut mata tidak kesampaian kerana masalah tersebut. Namun dari sudut positif, beliau semakin dapat menyesuaikan diri dengan motornya. Saya harap persembahan baiknya dapat diteruskan dalam saingan akan datang," katanya.

Komen anda