Hafizh mahu tebus kegagalan di Barcelona

129
Hafizh bakal membawa misi penting ke Litar Barcelona, hujung minggu ini.

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mempunyai misi besar menjelang perlumbaan di Grand Prix Catalan hujung minggu ini.

Jelas pelumba KTM Tech3 berusia 25 tahun itu, beliau mahu menebus kegagalan di Litar Mugello dua minggu lalu, yang menyaksikan beliau gagal menamatkan perlumbaan.

"Saya sangat teruja kembali ke Barcelona dan pada masa sama masih kecewa dengan kegagalan saya pada perlumbaan terakhir sebelum ini yang mana saya gagal menamatkan perlumbaan.

"Saya berjaya mendapatkan rentak yang mana saya percaya mampu membantu pasukan mengutip mata, namun ia dikecewakan pada akhirnya.

"Jadi, saya berharap dapat mengubah dan menebus kegagalan itu di Barcelona yang sudah dianggap seperti 'rumah kedua' saya," katanya.

Tambah pelumba yang digelar El Pescao itu, beliau menyedari tahap kesukaran yang bakal dihadapinya di Barcelona hujung minggu ini, namun itu bukan penghalang buatnya dan pasukan untuk memberikan yang terbaik.

"Ini merupakan tapak saya di Eropah dan Barcelona merupakan litar kedua yang paling saya sukai. Tahun lalu kami mendapat keputusan yang baik di Montmelo, tetapi saya tahu untuk sainagn minggu ini, ia akan menjadi sukar.

"Yang penting saya akan tetap melakukan yang terbaik, berusaha untuk mengutip mata dan memberikan segala-galanya yang saya ada. Kami akan terus bekerja keras sebagai satu pasukan," katanya.

Komen anda