Hafizh mohon maaf, Poncharal kecewa

184

MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID

PELUMBA MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah memohon maaf kepada pasukannya, KTM Tech3 dan peminat kerana kegagalannya menamatkan perlumbaan dalam saingan Grand Prix (GP) Itali minggu lalu.

Dalam perlumbaan yang berlangsung di Litar Mugello itu, Hafizh gagal menamatkan perlumbaan susulan mengalami masalah teknikal pada jenteranya.

Jelas Hafizh, beliau sebenarnya berpeluang meraih mata kedua untuk pasukannya pada perlumbaan itu selepas bermula baik di awal perlumbaan, namun hasrat itu tidak kesampaian apabila hampir terjatuh di selekoh kesembilan dan selepas itu gagal mengekalkan rentak akibat masalah pada motosikalnya.

“Saya sangat kecewa kerana saya berasakan telah bermula dengan baik dalam perlumbaan ini. Malangnya sesuatu yang buruk terjadi.

“Pada awalnya, saya sangat yakin mampu mengutip mata di sini, tetapi adakalanya perkara buruk datang tanpa diduga dan kami perlu menerimanya.

“Saya ingin meminta maaf kepada semua dan berjanji untuk bangkit dan bekerja lebih keras untuk perlumbaan berikutnya di Barcelona,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus KTM Tech3, Herve Poncharal turut menyuarakan rasa kecewanya dengan kegagalan Hafizh dalam perlumbaan itu.

“Hafizh mendapatkan rentak terbaik pada awal perlumbaan itu dan boleh menghadiahkan mata untuk pasukan. Sayangnya dia kehilangan sesuatu di bahagian depan jenteranya dan itu menyebabkan dia tidak dapat menamatkan perlumbaan.

“Saya tahu dia (Hafizh) berusaha untuk meneruskan perlumbaan, tetapi dia kehilangan satu lagi bahagian pada depan jenteranya dan saya faham itu membuatkan dia terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal.
“Cuma pada saya, ia menjadi satu kekecewaan terbesar kerana di sini (Mugello) buat pertama kalinya Hafizh menunjukkan prestasi terbaiknya sejak awal musim lalu,” katanya.

Komen anda