Hang Tuah idam curi mata

69

SELEPAS meraih kemenangan sulung membenam PJ City FC, minggu lalu, skuad Hang Tuah kini terus ghairah meneruskan rentak kemenangan dan bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam bagi pertembungan menentang PKNS FC, malam esok.

Ketua Jurulatih Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan berkata, aksi kedua malam ini begitu penting buat pasukan dalam usaha meraih mata dan pada masa sama meneruskan rentak positif.

“Perlawanan kedua liga (menentang PKNS FC) adalah satu lagi perlawanan yang amat penting bagi kita, yang pertama untuk mengutip dan membawa pulang mata dan yang keduanya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan pada separuh masa kedua (menentang PJ City FC) tempoh hari.

"InsyaAllah kita akan perbaiki untuk kebaikan pasukan dan yang paling penting adalah untuk membawa pulang mata daripada perlawanan kedua ini," jelasnya dipetik dalam kenyataan disiarkan Facebook Melaka United Soccer Association (Musa).

Pada perlawanan menentang PJ City FC, tuan rumah mempamerkan aksi menyakinkan apabila meledak dua gol pada separuh masa pertama melalui penyerang import, Liridon Krasniqi pada minit 36 sebelum Casagrande menggandakan kelebihan lapan minit kemudian untuk keputusan 2-0 pada babak pertama.

Namun rentak permainan longlai mula dipamerkan MU pada babak kedua hingga memberi peluang buat R Barathkumar menjaringkan gol buat PJ City FC pada minit 58 dan tuan rumah terus dipaksa bertahan sehinggalah keputusan kekal memihak Melaka United 2-1.

Komen anda