Harap tuah Stadium Bukit Jalil

382
Apex harap Stadium Nasional Bukit Jalil dapat menghadirkan kemenangan buat pasukan negara. Foto : Rosli Talib

PEMAIN negara perlu menggunakan peluang bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk meraih kemenangan ketika bertemu Bhutan dalam perlawanan persahabatan kelas A, malam esok.

Penjaga Gol Kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat berkata, jika kemenangan berjaya dilakar, ia bakal menjadi titik permulaan cemerlang buat pasukan negara yang kini sedang bergelut untuk kembali menyinar di peringkat antarabangsa.

“Bermain di Stadium Bukit Jalil sentiasa ada kenangan buat kami kerana di situ kami berjaya meraih beberapa kemenangan bermakna.

“Justeru, stadium ini diharapkan dapat beri permulaan baik kepada pasukan kebangsaan untuk tahun ini dan meraih beberapa lagi kemenangan selepas ini,” katanya.

Stadium Nasional Bukit Jalil pernah memahat beberapa sejarah tersendiri kepada skuad negara dan yang paling diingati sudah tentu kemenangan 3-0 ke atas Indonesia pada perlawanan pertama Piala Suzuki AFF 2010 yang sekali gus menjadi keputusan penting untuk negara menjulang piala itu buat pertama kalinya dalam sejarah.

Sementara itu, Khairul Fahmi atau panggilan mesranya Apex mahu rakan-rakan pemain memberikan fokus 100 peratus untuk mencatatkan kemenangan dalam perlawanan itu.
Jelasnya, momentum cemerlang ketika menentang Lubnan harus dibawa dalam pertemuan malam esok.

“Saya harap rakan-rakan pemain dapat ambil momentum ketika menentang Lubnan, memperbaiki sedikit persembahan dan kekalkan masa game.

“Kami juga harap kemenangan dapat dicapai untuk menggembirakan hati penyokong,” katanya.

 

Komen anda