Harimau Kumbang kembali semula ke liga elit

141

PULAU Pinang kembali bersaing di Liga Super pada musim 2020 selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 pada aksi terakhir Liga Premier di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Skuad Harimau Kumbang itu berjaya kembali ke saingan divisyen teratas itu selepas menamatkan saingan di tempat ketiga, walaupun berkongsi 30 mata bersama PDRM (4) dan Terengganu FC II (5) menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi malam ini, Pulau Pinang bermula garang menerusi jaringan awal pemain import dari Brazil, Casagrande pada minit kelima, sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Liberia, Patrick Wleh pada minit ke-30.

Pulau Pinang bagaimanapun mengesahkan tiga mata penuh menerusi jaringan Mohammad Al-Hafiz Harun pada minit ke-51 untuk kembali ke Liga Super bersama-sama Sabah yang muncul juara musim ini, selepas tersingkir ke divisyen kedua apabila menamatkan saingan di tempat terakhir dalam kalangan 12 pasukan pada 2017.

Johor Darul Ta’zim (JDT) II menamatkan saingan di tempat kedua selepas 20 perlawanan namun tidak boleh beraksi di Liga Super kerana menjadi kelab ‘feeder’ kepada JDT.

Sementara itu, Sarawak berdepan risiko penyingkiran ke Liga M3 walaupun mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Selangor United di Stadium Sarawak, Kuching.

Sarawak yang menamatkan saingan di tempat ke-11 Liga Premier, perlu bermain aksi playoff menentang pasukan naib juara Liga M3 untuk menentukan nasib mereka sama ada terus kekal di divisyen kedua atau tersingkir ke liga amatur (Liga M3) itu.

Sebagai rekod, Sarawak yang juara Liga Premier 2012, tersingkir dari Liga Super selepas menamatkan kempen di kedudukan ke-11 pada musim lalu.

Pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit keenam, sebelum skuad Bujang Senang bangkit menyamakan kedudukan melalui Bobby Gonzalez pada minit ke-32.

Sarawak kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan kedua Bobby pada minit ke-61 dan pemain import dari Brazil, Hudson Dias de Jesus pada minit ke-75.

Kelantan yang diselubungi dengan krisis kewangan dan pengurusan sejak awal musim ini, berjaya mengelakkan penyingkiran menerusi kemenangan 2-0 ke atas UKM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk menamatkan saingan di tangga ke-10.

Dua gol skuad ‘The Red Warriors’ itu dijaringkan oleh Nik Azli Nik Alias pada minit ke-58 dan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-90.

Di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu FC II menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mengejutkan juara musim ini, Sabah 2-1.

Skuad Penyu membuka jaringan menerusi Mohammad Haidhir Suhaini pada minit ke-45, sebelum Muhammad Ridzuan Mohd Razali menggandakan jaringan pada minit ke-54, manakala Aguanaldo Policarpo menjaringkan gol tunggal Sabah pada minit ke-63.

Jaringan pemain import dari Jepun, Shunsuke Nakatake pada minit ke-63 membantu Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan ke atas UiTM FC yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Korea Selatan, Park Yongjun pada minit ke-23 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Aksi Liga Super pula menyaksikan Pahang yang sudah pun mengesahkan tempat kedua, membenam Melaka 4-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Empat gol skuad Tok Gajah dijaringkan oleh Lazarus Kaimbi seawal minit pertama dan minit ke-69, Mohamadou Sumareh (40′) dan Saddil Ramdani (89′), manakala gol sagu hati Melaka dijaringkan oleh Luka Milunovic (58′).

Selangor berjaya melonjak ke tempat ketiga carta selepas menewaskan PKNS FC 3-2 di Stadium Shah Alam.

Turun selaku pasukan tuan rumah, skuad Semut Merah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit kedua menerusi Romel Oswaldo Morales, namun Selangor bangkit mendahului menerusi jaringan Sandro Da Silva pada minit ke-39 dan dua gol Ifedayo Olusegan (43′ dan 51′).

PKNS FC kemudian mengurangkan defisit menerusi Tamirlan Kozubaev pada minit ke-77.

Komen anda