Harimau Malaya jangan terlalu beremosi di Stadium Gelora Bung Karno – Kim Swee & Baddrol Bakhtiar

155
Gelora Bung Karno tidak hanya menjadi tumpuan bagi aksi berintensi tinggi antarabangsa melibatkan skuad Garuda tetapi juga liga domestik tempatan Indonesia.

ZURAIMEE ZAINAL

 

SKUAD Harimau Malaya  diingatkan supaya tidak mempedulikan segala bentuk provokasi luar mahupun dalam padang bagi mencapai keputusan positif ketika menentang Indonesia pada aksi sulung Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam esok.

 

Pengendali skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, Harimau Malaya  perlu bersedia dari segi mental bagi menghadapi provokasi puluhan ribu penyokong skuad Garuda di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta nanti.

 

“Provokasi atau tekanan daripada pihak lawan perkara biasa dalam permainan bola sepak, cuma dengan pasukan Indonesia lain sedikit kerana kita banyak sejarah yang kita lalui sebelum ini.

 

“Pada saya, paling penting pemain kita kena fokus sepanjang 90 minit perlawanan, jangan hiraukan  cemuhan serta ejekan penyokong Indonesia.

 

“Kita tidak boleh ada sedikitpun perasaan marah dengan sebarang provokasi, baik penyokong atau pemain lawan. Jika kita marah dan kemudiannya membalas respons provokasi lawan, ia akan mengganggu emosi kita, sekali gus menjejaskan rentak perlawanan,” katanya kepada Sukan Sinar.

ONG KIM SWEE

Kim Swee turut mengingatkan skuad Harimau Malaya agar tidak terlalu beremosi dengan tindakan penyokong dan pemain  lawan yang sememangnya berniat mahu ‘membunuh’ emosi mereka.

 

“Sebaliknya, kita kena ambil provokasi atau tekanan itu sebagai satu motivasi untuk buktikan kita adalah yang terbaik dengan mencipta kemenangan di laman lawan.

 

“Kita kena kawal emosi, menyerap tekanan ini sebab bila kita  fokus pada permainan ikut arahan jurulatih, saya tidak nampak sebarang masalah untuk skuad negara membawa pulang keputusan positif,” ujarnya.

Baddrol Bakhtiar

Senada dengan Kim Swee ialah kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang berharap skuad Harimau Malaya dapat menyerap segera  tekanan pasukan lawan serta ejekan penyokong skuad Garuda itu.

 

“Usah pedulikan ejekan, cemuhan atau sebarang provokasi bermula daripada sesi latihan sehingga hari perlawanan. Sebaliknya, jadikan ia sebagai pembakar semangat untuk mencipta kemenangan,” yang mengetuai skuad B-23 negara meraih emas pada Sukan SEA 2011 di Jakarta.

Komen anda