Harimau Malaya pasti bangkit

384
KUALA LUMPUR, 1 Dis -- Reaksi skuad Harimau Malaya selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan antara Malaysia dan Thailand. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya anak-anak buahnya mampu bangkit menghadapi Thailand dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala, Bangkok, 5 Disember nanti.

Melihat kepada peningkatan prestasi dipamerkan anak didiknya pada perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada aksi pertama dan rekod Thailand yang meledak 14 gol dilaman sendiri, Cheng Hoe percaya skuadnya mampu melakar kejutan.

“Sekiranya kami bermain seperti semalam dan fokus, saya yakin kami mampu memperoleh gol di Thailand. Saya dapat rasakan pemain boleh mengatasi tekanan beraksi di Bangkok nanti dan mendapatkan memberikan kejutan sekali gus mendapatkan keputusan positif.

“Bermain di Stadium Rajamangala bukan mudah kerana Thailand meledak 14 gol di sana. Namun jika pemain kekalkan fokus dan ada peluang saya fikir kami boleh menjaringkan gol.

“Pemain beraksi mengikut perancangan cuma mereka perlu yakin apabila berdepan situasi menjaringkan gol dan perlu tenang dan bijak mengambil peluang. Secara keseluruhannya, Malaysia bermain dengan baik.

“Saya gembira kerana kami tidak dibolosi. Keputusan seri 0-0 saya menjangkakan Thailand akan bermain lebih kurang sama di Bangkok nanti. Kami kena fokus bertahan dan pada masa menyerang untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Malaysia perlu melakar keputusan sekurang-kurangnya seri dengan jaringan satu gol untuk menempah tiket ke final berdasarkan peraturan jaringan di tempat lawan dan selepas berjaya mengikat Thailand di laman sendiri.

Thailand dilihat kebal dan bernafsu memburu gol setiap kali mereka beraksi di Stadium Rajamangala, Bangkok apabila sebanyak 14 gol berjaya dihasilkan anak-anak buah Milovan Rajevac sepanjang kempen Kumpulan B Piala AFF.

Komen anda